4/07/13

Filled Under: , , , ,

Presiden Mesir Digulingkan Tentera


KAHERAH – Angkatan tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohamed Morsi lewat Rabu selepas ketegangan yang berlarutan selama seminggu.

Insiden itu menyebabkan kira-kira 50 orang maut ketika berjuta-juta orang membanjiri jalan raya menuntut pemimpin dari parti Islam itu meletak jawatan selepas setahun berkuasa.

Pengumuman itu dibuat menerusi televisyen oleh menteri pertahanan Morsi, Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi sambil disambut sorokan di kalangan penunjuk perasaan yang berkhemah di jalan raya selama beberapa hari.

Sisi juga mengumumkan perlembagaan yang dicadangkan oleh parti Islam dibekukan.

Beliau berkata pilihan raya presiden yang baharu akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Jurucakap untuk parti Ikhwan Muslimin, Gehad el-Haddad berkata, Morsi dan 12 pembantunya turut berada di bawah tahanan rumah, tempat beliau tinggal.

Ketua politik Ihwan Muslimin juga ditahan.

Ribuan penunjuk perasaan itu melakukan demonstrasi hampir seminggu kerana tidak berpuas hati dengan pemerintahan Morsi yang didakwa terlalu memberi kuasa kepada parti Ikhwan Muslimin dan gagal menangani masalah ekonomi di negara tersebut.