23/07/13

Filled Under: , , ,

Masa Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah

Bilakah masa mengeluarkan zakat fitrah?


a) Menurut mazhab Syafi’ie; zakat fitrah boleh dibayar seawal bermula bulan Ramadhan lagi, iaitu dari hari pertama Ramadhan. Menurut mazhab Malik; pembayaran sah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari raya. Sebahagian ulama’ mazhab Ahmad berpandangan; harus pembayaran dibuat setengah bulan (15 hari) sebelum hari-raya.

b) Waktu paling afdhal mengeluarkan zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum ditunaikan solat hari raya. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)” (Riwayat Imam Bukhari).

c) Makruh melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas solat hari raya. Hukum makruh ini berterusan hingga terbenamnya matahari. Jika dilewatkan lagi hingga selepas terbenam matahari, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Dalam satu hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada dinyatakan; “Sesiapa menunaikan zakat firtah sebelum solat hari raya, ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah biasa” (Riwayat Imam Ibnu Majah).


Orang yang melewatkan pembayaran zakat fitrah, adakah ia wajib menggantinya?

Para ulama’ juga sepakat bahawa kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tidak akan gugur dengan menta’khir atau melewatkannya setelah ia menjadi wajib ke atas seseorang, bahkan ia menjadi hutang yang berada di bawah tanggungannya hinggalah ia membayarnya walaupun di akhir umur. Jika ditakdirkan berlaku kematian ke atasnya sebelum ia sempat menunaikan zakat fitrah tersebut, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya, kerana zakat adalah kewajipan harta yang mesti ditunaikan ketika hidup, maka ia tidak akan gugur dengan sebab berlakunya kematian sama seperti hutang dengan manusia.


Lagi Info Pasal Zakat Fitrah :
  1. Apa itu Zakat Fitrah?
  2. Hikmah Zakat Fitrah
  3. Siapa Diwajibkan Zakat Fitrah
  4. Syarat Wajib Zakat Fitrah
  5. Jenis Harta Dan Kadar Untuk zakat Fitrah
  6. Masa Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah
  7. Siapa Layak Terima Zakat Fitrah
  8. Kadar Zakat Fitrah Di Seluruh Malaysia 2013