Walaupun baru tiga hari menyambut bulan Ramadhan, namun telah banyak cerita kurang enak yang didengar di dalam industri hiburan tanah air kita.
Paling memeranjatkan apabila seorang pelakon wanita dicekup ketika sedang leka bermain mahjung dan tidak berpuasa bersama seorang rakan perempuan dan dua orang lelaki bukan Islam.
Susulan daripada berita penangkapan itu, timbul pula desas-desus yang mengatakan pelakon seksi itu adalah Lana Nordin. Menerusi portal Gua, Lana bagaimanapun menafikan dia adalah wanita yang dimaksudkan namun mengakui tidak berpuasa kerana sedang sakit.
Itu bukan saya. Sudah tiga hari saya terlantar sakit di rumah sampai hilang suara. Saya sekarang sedang demam, batuk dan sakit tekak. Jadi saya rasakan berita itu sangat kelakar
Tapi saya akui sekarang memang saya tidak berpuasa kerana tidak sihat. Saya berjumpa doktor dan mengambil suntikan untuk meredakan demam. Saya juga perlu makan ubat, sebab itu saya tidak berpuasa. Sudah tiga hari saya demam dan saya nak keluar daripada rumah pun tak larat.
Lana turut menegaskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan dia berada di tempat kejadian memandangkan gambar yang tersebar itu diambil dari belakang.
Untuk pengetahuan anda, pihak penguatkuasa MPSJ menyerbu Pusat Siber di Bandar Puteri pada hari pertama berpuasa kerana premis itu dipercayai tidak mempunyai lesen yang sah sebelum menjumpai pelakon itu dan rakan-rakannya di sebuah bilik VIP.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya telah dilepaskan selepas butir keterangan diri mereka diambil.