ROMPIN – Harga siling bagi ayam sebanyak RM7.70 yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos tidak mendapat reaksi yang positif segolongan peniaga, di sini.
Wartawan Sinar Harian difahamkan, ia tidak disambut baik kerana memandangkan harga ayam hidup daripada pembekal yang belum tentu akan turun selaras dengan harga siling.
Peniaga ayam, Syed Azhar Syed Aziz, 38, berkata, tidak bersetuju dengan harga siling yang ditetapkan jika harga ayam hidup masih kekal.
“Kalau harga ayam hidup masih kekal seperti sekarang, saya tidak setuju dengan harga siling yang telah ditetapkan itu kerana ia akan membebankan peniaga juga.
“Kos bagi sekilogram ayam selepas diproses sahaja sudah RM7.20, jika harga ayam hidup ikut turun, baru boleh jual ikut harga siling,” katanya.
Menurutnya, kemungkinan juga akan berhenti meniaga dalam tempoh ayam dijual mengikut harga siling jika harga ayam hidup masih tidak turun.
“Jika harga ayam hidup masih kekal semasa tempoh harga siling, kemungkinan saya tidak akan meniaga kerana secara logik sudah tentu akan rugi.
“Daripada saya meniaga dan kemudiannya rugi, tambah pula kena saman dengan KPDNKK lagi sebab tidak jual ayam ikut harga siling, lebih baik tidak meniaga terus,” katanya.
Beliau yang juga berniaga di Pasar Besar Rompin berkata, memang mahu menjual ayam dengan harga murah agar dapat menarik ramai pembeli.
“Saya ada pekerja seramai empat orang dan setiap seorang menerima bayaran gaji sebanyak RM30.00 sehari.
“Untuk itu, kos operasi sehari sekurang-kurangnya RM250.00 dan saya kena jual lebih 100 ekor ayam baru boleh lepas bayar gaji pekerja dengan untung yang tidaklah terlalu banyak,” katanya.
Sementara itu, ditanya tentang kemungkinan wujud pakatan pembekal dengan peniaga untuk menaikkan harga ayam, beliau menafikan khabar angin tersebut.
“Isu pakatan antara pembekal dengan peniaga ini bagi saya tidak logik. Peniaga jual ayam dengan harga mahal tetapi orang tak nak beli, jadinya pembekal juga yang untung,” katanya.
sumber;http://www.sinarharian.com.my/tidak-...-ayam-1.185304