24/01/13

Filled Under: ,

Mukjizat Rasulullah SAW : Kisah Wanita Dan Air


Ketika Rasulullah SAW dan rombongannya di dalam satu perjalanan ke satu tempat di dalam cuaca yang panas terik menyebabkan ramai ahli rombongan yang kehausan semasa di dalam perjalanan tersebut kerana kehabisan bekalan air minuman. Lalu Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk berhenti berehat sambil berusaha mendapatkan bekalan air minuman. Ketika sedang berehat Rasulullah SAW telah memanggil Ali dan Zubair untuk mencari bekalan air di kawasan yang berhampiran.

"Ya Ali dan Zubair aku tugaskan kamu berdua mencari air, pergilah ke satu tempat dan kamu akan menemui seorang wanita yang membawa seekor unta di mana kanan dan kirinya ada bekas kulit berisi air. Kamu mintalah pertolongan dari wanita tersebut." Pesan baginda SAW kepada mereka berdua.

"Baiklah Ya Rasulullah kami akan pergi ke tempat itu meminta pertolongan dari wanita tersebut." Jawab Ali dan Zubair serentak.

Mereka berdua pergi berjalan di kawasan yang berhampiran itu, setelah agak lama berjalan maka mereka bertemulah dengan wanita yang diceritakan oleh Rasulullah SAW tadi. Sebaik sahaja mereka bertemu lalu Ali berkata, "Wahai tuan hamba, Rasulullah SAW ingin sangat bertemu dengan tuan hamba."

Lalu wanita itu bertanya kehairanan, "Siapa Rasulullah itu?" Lalu Zubair menjawab, "dialah yang telah meninggalkan agama masyarakat yang menyembah bahala. Dia adalah utusan Allah SWT." Maka wanita itu bersetuju untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ali dan Zubair membawa wanita itu berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Setibanya di kawasan para rombongan itu berhenti berehat, wanita itu merasa hairan melihat ramai yang kehausan untuk mendapatkan bekalan air.

Lalu Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat, "Wahai sahabat-sahabatku sediakan bekas air untuk diisi dengan air yang dibawa oleh wanita ini." Setelah bekas-bekas air disediakan lalu Rasulullah SAW mencedok air dari bekas wanita tadi ke dalam bekas-bekas yang disediakan sehinggalah bekas-bekas itu penuh kesemuanya.

Melihatkan peristiwa itu, wanita itu menjadi hairan kerana air yang dicedok daripada bekas air yang dibawanya itu tidak berkurangan sedikitpun walaupun semua bekas-bekas itu penuh. Lalu baginda SAW mengucapkan terima kasih di atas bantuan tadi lalu Rasulullah SAW mengarahkan wanita itu membentangkan satu kain di atas tanah.

"Wahai sahabat-sahabatku, kamu letakkan sebahagian bekal-bekal yang kamu bawa di atas kain itu dan berikanlah kepada wanita ini." Baginda SAW mengarahkan para sahabat meletakkan sebahagian makanan mereka. Kemudian setelah semua bekal makanan diletakkan di atas kain wanita itu lalu baginda SAW mengikat kain itu dan menyerahkan kepada wanita itu.

"Ambillah. Kami tidak mengambil sedikitpun airmu tetapi Allah yang memberikan kami minuman." Rasulullah SAW menghulurkan bekalan makanan para sahabat kepada wanita itu.

Wanita itu mengambil bekalan makanan itu lalu pulang kerumahnya sambil membawa air yang masih penuh. Kejadian aneh sebentar tadi membuatkan wanita itu menyebarkan cerita tersebut kepada seluruh penduduk kampungnya yang pada ketika itu semua masih kafir. Tidak lama kemudian datanglah beramai-ramai penduduk kampung itu mencari Rasulullah SAW untuk memeluk agama Islam.