12/01/13

Filled Under: , ,

Himpunan #KL112 wajib patuh 27 syarat

Embedded image permalink

KUALA LUMPUR - Dua puluh tujuh syarat telah dipersetujui di antara pihak penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) dan pihak polis bagi memastikan buat julung kalinya perhimpunan yang membabitkan protes terhadap kerajaan, berjalan aman esok.

Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata, ia merupakan persetujuan bersama selepas perbincangan teliti dibuat dengan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wango, ACP Zainuddin Ahmad pada petang semalam.

Embedded image permalink

Syarat-syarat yang dipersetujui antara polis dan penganjur adalah:

- Pihak penganjur hendaklah memastikan bahawa penganjuran dan pengendalian himpunan tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman atau apa-apa arahan yang dikeluarkan di bawah akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain

- Penganjur dan peserta perhimpunan tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan yang berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, perasaan tidak puas hati atau permusuhan di kalangan orang awam amnya atau membuat apa-apa yang akan mengganggu ketenangan orang awam

- Penganjur hendaklah memastikan dia atau mana-mana orang lain yang berada di perhimpunan itu tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis

- Penganjur dan peserta juga hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa awam

- Penganjur dan peserta juga hendaklah memastikan bahawa perhimpunan itu tidak akan membahayakan kesihatan atau kerosakan kepada harta atau alam sekitar

- Penganjur dan peserta juga hendaklah memastikan bahawa perhimpunan itu tidak akan menyebabkan apa-apa kesusahan yang signifikan kepada orang awam amnya

- Penganjur hendaklah memastikan pembersihan semasa dan selepas perhimpunan atau menanggung kos pembersihan tempat perhimpunan

- Penganjur juga mesti lah mematuhi tarikh, masa dan tempat perhimpunan sebagaimana yang ditetapkan

- Penganjur mestilah mematuhi cara perhimpunan yang ditetapkan di bawah Akta 736

- Penganjur dan peserta himpunan dikehendaki patuh kepada semua arahan yang diberikan oleh pihak polis pada setiap masa bagi menentukan suasana perhimpunan menjadi aman dan keadaan keselamatan orang serta semua peserta himpunan yang mempunyai kepentingan terjamin

- Penganjur dan peserta juga hendaklah menahan diri daripada melakukan secara menyakitkan hati atau menggunakan kata-kata kesat terhadap mana-mana orang ketika berlangsungnya perhimpunan

- Penganjur dan peserta dikehendaki menentukan tidak berlaku sebarang perbuatan khianat atau bencana ke atas harta semasa perhimpunan

- Membawa senjata atau barang-barang yang boleh memudaratkan atau boleh digunakan untuk menimbulkan ketakutan dan menyebabkan kecederaan kepada orang awam, atau kerosakan kepada harta juga turut dilarang di samping memastikan penganjur dan peserta berhimpun secara aman

- Pengajur juga hendaklah menentukan tiada protes jalanan

- Penganjur dan peserta perhimpunan juga dilarang mengganggu, mengubah dan mendirikan sebarang halangan lalu lintas

- Syarat-syarat yang dikenakan termasuk juga penganjur mestilah menentukan semua peserta perhimpunan berada di dalam Stadium Merdeka semasa perhimpunan. Sebarang perhimpunan di tempat lain seperti masjid dan tempat-tempat lain adalah tidak dibenarkan

- Pengajur juga hendaklah memastikan tiada kenderaan diletakkan di atas bahu jalan, kiri dan kanan sepanjang Jalan Hang Jebat, Jalan Changkat Stadium dan Jalan Stadium serta Jalan Maharajalela

- Penganjur hendaklah melantik bilangan orang yang difikirkan perlu untuk membantu dalam mengatur kawalan keselamatan terhadap perhimpunan dan perarakan masuk ke tempat perhimpunan (Stadium Merdeka)

- Penganjur hendaklah memastikan para peserta pehimpunan tidak menimbulkan sebarang kekecohan, provokasi dan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan terhadap orang awam semasa berarak ke Stadium Merdeka

- Penganjur juga hendaklah memastikan peserta perhimpunan bersurai dari tempat perhimpunan dalam keadaan teratur tanpa mengganggu keselamatan awam dan lalu lintas

- Penganjur juga dikehendaki memastikan tiada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun di bawa ke tempat perhimpunan

- Pengajur juga bertanggungjawab menentukan semua syarat dan ekartan yang telah dipersetujui dimaklum kepada semua peserta perhimpunan

- Pengajur juga hendaklah memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk membuat apa-apa bentuk rakaman perhimpunan

- Penganjur hendaklah menentukan semua pembesar suara dihala ke dalam stadium di sepanjang perhimpunan berlangsung

- Penganjur juga hendaklah memastikan bilangan peserta perhimpunan yang masuk ke dalam stadium tidak melebihi 30,000 orang sebagaimana terma yang ditetapkan oleh pihak pemilik Stadium Merdeka iaitu "The Merdeka Heritage Trust" dan petugas-petugas yang dilantik oleh penganjur hendak lah memastikan had kapasiti muatan Stadium Merdeka ini dikekalkan dari permulaan hingga akhir perhimpunan

- Jika berlaku limpahan dalam stadium, adalah menjadi tanggungjawab penganjur bagi menentukan kawalan dan keselamatan bagi setiap peserta

- Pengajur hendaklah menentukan plakad (placard), sepanduk dan kain rentang dipamerkan sewaktu peserta-peserta berjalan masuk stadium, sepanjang mereka berada di stadium dan sewaktu peserta-peserta berjalan keluar stadium apabila perhimpunan selesai mengikut syarat kedua


Sementara itu, jurucakap #KL112, Hishamuddin Rais pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, di sini, hari ini mengingatkan para peserta himpunan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas pada malam ini dan esok.

Embedded image permalink

sumber:http://www.sinarharian.com.my/semasa...yarat-1.120089