Imam Masjid Batu 2, Shamsul Bahrin Din dalam khutbah Jumaatnya, berkata, dakwaan musuh Islam mendakwa terdapat bukti kononnya menjurus kepada kepercayaan itu adalah tidak berasas memandangkan pengetahuan hari kiamat hanya diketahui Allah SWT.
Menurutnya, segelintir media massa turut memainkan peranan negatif dalam menyebarkan iklan satu jenama shampu yang menggunakan isu itu sebagai jalan cerita sehingga menyebabkan ada umat Islam terpedaya, menggambarkan keadaan musuh Islam yang cuba merosakkan akidah mereka secara halus.
“Lebih membimbangkan, saban hari ada sahaja hadis palsu yang dimuat turun menggunakan medium internet kononnya untuk membuktikan hari kiamat berlaku pada 21/12/12 adalah sahih.
“Biar pun orang Islam wajib mempercayai adanya hari kiamat, tetapi kita harus menyedari Allah SWT tidak menjelaskan bilakah tarikh hari itu berlaku walaupun terhadap Pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW,” katanya sewaktu menyampai khutbah Jumaat kepada lebih 700 jemaah, di sini, semalam.
Shamsul Bahrin berkata, kerahsiaan hari kiamat bukan hanya melampaui pengetahuan Nabi Muhammad SAW, bahkan malaikat Israfil yang bertugas meniup sangkakala juga tidak mengetahui bilakah tarikh sebenar.
“Jadi, malaikat Israfil hanya bersiap-sedia menunggu arahan daripada Allah SWT untuk menjalankan tugas sebagai peniup sangkakala.
“Bagaimana mungkin manusia biasa boleh menerima bahawa tarikh kiamat mampu diramalkan pihak tertentu yang mendakwa diri mereka cerdik pandai,” katanya.
Shamsul Bahrin berkata, kedangkalan musuh Islam terbukti pada sekitar tahun 80-an di mana terdapat segelintir saintis barat menjangkakan berlakunya perlanggaran bumi dengan komet Haley yang bakal menyebabkan kiamat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ramalan itu meleset, sebaliknya dunia menjadi semakin maju hasil kurniaan nikmat pemberian Allah SWT.
“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini dan jika momokan atau dakyah mengenai berlakunya kiamat pada 21/12/12 terus diperkatakan, dibimbangi umat Islam yang kurang mantap asas agama akan terpengaruh.
“Golongan yang membuat ramalan hari kiamat itu mempunyai motif tertentu, bahkan pada hakikatnya perkara dilakukan mereka turut memberi saham kemenangan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/...12-12-1.110932