11/06/13

Filled Under: ,

Disebalik Maskot 'Along'


Pelakon Beto Kusyairi mendedahkan dia pernah menjadi maskot rancangan kanak-kanak popular, Along pada tahun 2001 ketika di awal pembabitannya dalam dunia seni hiburan tempatan.

Pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan,33, ini berkata, ia merupakan sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakannya meskipun melalui kesukaran melakukan kerja maskot itu.

"Saya ambil motivasi daripada pelakon Hollywood iaitu Brad Pitt di mana dia juga pernah menjadi maskot untuk sebuah restoran makanan segera.

"Dan hampir tiga tahun melakukan kerja itu, saya menimba pelbagai pengalaman dan ia antara cabaran yang memberi kenangan manis buat saya sebelum bergelar pelakon yang dikenali.

"Saya percaya, kerana pengalaman menjadi maskot itu juga membuatkan saya menjadi seperti hari ini," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem CEO di restoran Bora Ombak, di sini, Selasa.

Along merupakan rancangan kanak-kanak yang melibatkan tiga karakter iaitu Along sebagai peneraju utamanya, Achik dan Angah yang popular pada sekitar 1990-an sehingga tahun 2003.

Tambah Beto yang mengimbas kembali kenangannya itu, setiap kali menyarung maskot tersebut, dia terpaksa bermandi peluh kerana terlalu panas, selain terpaksa memakainya selama beberapa jam mengikut proses penggambaran yang dilakukan.

Bagaimanapun dia tetap seronok menjalankan tugasnya itu kerana dapat melakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa orang tahu siapakah yang berada di dalam maskot berkenaan."Terlalu banyak pengalaman lucu sepanjang bekerja menjadi 'Along’. Kalau nak cakap fasal panas, ia memang tak terkira.

"Bagaimanapun rasa panas terus hilang apabila saya menyarung baju maskot itu. Ia seperti mempunyai magis yang membuatkan saya berubah karakter. Mungkin kerana orang tidak siapa di dalamnya membuatkan saya berperangai seperti kanak-kanak riang.

"Pernah sekali, ketika di sebuah majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya perlu membuat beberapa aksi. Tetapi kerana berpeluh, kepala maskot saya tercabut sehingga membuatkan beliau ketawa," selorohnya.

Dalam perkembangan lain, Beto telah selesai penggambaran filem Balun serta Gila Baby dan bakal muncul dalam filem Bravo 5 yang akan ditayangkan pada hujung tahun ini.

Beto juga akan memulakan penggambaran CEO di bawah terbitan ARAfilm bersama-sama dengan barisan pelakon seperti Christina Suzanne, Remy Ishak dan Deanna Yusoff pada 15 Jun ini