18/06/13

Filled Under: , , ,

Ikan kelisa RM40,000 hangus


BATU BERENDAM - Bukan saja harta benda musnah, sebaliknya lebih menyedihkan apabila tujuh ekor ikan kelisa yang dipelihara seorang kontraktor membaiki rumah, turut mati dalam kebakaran di Taman Ara Permai, pagi semalam.'

Ikan kelisa peliharaan Low Kiow Cheong, 58, itu diaggarkan bernilai RM40,000 mati apabila rumah teres lot tepi miliknya terbakar dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu.

Turut musnah, sebuah rumah dan kereta jenis BMW milik mangsa dan kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah setengah juta ringgit.

Bagaimanapun, seekor burung kakak tua dan anjing berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat ketika kerja memadamkan api dilakukan semasa penghuninya tiada di rumah.

Menurut Kiow Cheong, ketika kejadian dia sedang menemani isterinya Goh Geok Eng, 52, membuat pemeriksaan di sebuah klinik di Jalan Bendahara dan bergegas balik selepas dihubungi adiknya yang tinggal berhampiran kira-kira 11.30 pagi.

“Saya tinggal bersama isteri, anak, menantu dan dua cucu di rumah ini sejak enam tahun lalu.

“Tujuh ekor ikan kelisa sudah mati. Mujur burung kakak tua bernama Macau dan anjing jenis Pitbull bernama Popai dapat diselamatkan bomba. Tapi, kedua-duanya masih lagi dalam keadaan ketakutan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kiow Cheong berkata, ketika sampai di rumahnya, dia melihat anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.

Sementara itu, saksi kejadian, Lum Boon Son, 32, dia yang dalam perjalanan dari rumah di Kampung Sungai Putat ke kedai yang terletak di Melaka Baru, menukar haluan masuk ke taman perumahan itu apabila melihat asap tebal.

“Saya mahu tengok apa yang berlaku, jadi dari jalan utama saya belok motosikal masuk ke taman ini. Saya tengok api sudah marak di bahagian garaj hadapan rumah ini.

“Saya minta bantuan seorang lelaki yang turut berada di situ menghubungi bomba kerana saya tidak ada telefon bimbit. Sayang sekali saya tidak dapat bantu apa-apa kerana pagar rumah berkunci dan terpaksa menunggu bomba sampai,” katanya.



sumber:http://www.sinarharian.com.my/ikan-k...angus-1.172626