6/12/11

Filled Under: , , ,

Adik Khairul Fahmi Che Mat Meninggal Dunia


Adik Apek meninggal akibat demam panas
KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan dirinya baru saja reda, namun penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, sekali lagi berdepan dugaan besar apabila menerima berita sedih kematian adik lelakinya yang meninggal dunia akibat demam panas, semalam.
Mohd Amirul Izat, 16, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, jam 11.30 pagi semalam selepas hampir 23 hari tidak sedarkan diri.
Allahyarham yang juga anak sulung kepada isteri kedua bapa penjaga gol kebangsaan itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 10 November lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 15 November lalu.
Dia yang pada mulanya disyaki menghidap demam denggi, sekali lagi dirujuk ke HUSM sebelum disahkan meninggal dunia.
Che Mat Hussin, 58, berkata, anak sulung dari dua beradik hasil perkongsian dengan isteri keduanya, Hasnah Mahmood, 47, disemadikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Pohon Tanjung kira-kira satu kilometer dari rumah Hasnah di Kampung Pak Lah dekat Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.
Katanya, arwah yang begitu rapat dengan abangnya (Khairul Fahmi) dirujuk ke HUSM dan menjalani pembedahan pada leher selain melalui prosedur memasukkan alat untuk mengeluarkan kuman yang dikatakan menyerang otaknya. Menurut Che Mat, kematian anaknya itu dimaklumkan kepada Khairul Fahmi yang ketika itu berada di Kuala Lumpur menjalani latihan rutin harian menghadapi Sukan Olimpik.
Ketika ahli keluarga Che Mat menuju ke tanah perkuburan, kenderaan dinaiki Khairul Fahmi tiba 10 minit kemudian dan penjaga gol kebangsaan itu sempat mengusung jenazah adik lelakinya diiringi ahli keluarga lain.
Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya sebelum Aidiladha lalu dan sempat beramah mesra dengan seluruh ahli keluarganya.
“Walaupun rapat, kami jarang bertemu kerana sibuk menjalani latihan dan saya hanya sempat memberikan baju sebagai hadiah hari raya,” katanya.