19/12/11

Filled Under: , ,

Bas Henti-Henti : Daif Dan Uzur, Kerajaan Salur RM400juta

Sangat daif dan uzur itulah situasi yang sesuai digambarkan kepada sesetengah perkhidmatan bas henti-henti di negara ini. Mungkin zaman sekarang keperluan bas henti- henti ini tidak mendesak seperti zaman 80-an dan 90-an dulu. Ramai orang sekarang sudah mampu untuk memiliki kereta sendiri dan ada yang lebih suka menggunakan perkhidmatan teksi. Jadi seakan perkhidmatan bas henti-henti kini agak lesu. Tetapi jangan dilupakan golongan yang ramai menggunakan perkhidmatan ini adalah golongan pelajar sekolah. Jadi apa salahnya jika diberikan sedikit keselesaan kepada mereka yang ingin pergi menuntut ilmu.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan kerajaan meluluskan dana berjumlah RM400 juta bagi membantu syarikat bas henti-henti yang sedang menghadapi masalah kewangan di dalam meneruskan operasi mereka.

Perdana Menteri berkata, dana yang diluluskan itu akan diurus oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang merancang untuk mengagihkan sejumlah RM100 juta pada suku pertama 2012.

"Untuk fasa pertama, dana bantuan itu akan digunakan untuk membantu syarikat yang bermasalah di Selangor diikuti dengan negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

"Dana ini juga adalah langkah interim yang diharap dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti, demi kepentingan rakyat terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan melalui SPAD akan memulakan rundingan dengan pengusaha bas terbabit untuk membincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

Perdana Menteri berkata, ia penting untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan pengusaha terbabit terus beroperasi, berteraskan kepentingan pihak pengusaha dan juga pengguna.

Beliau menjelaskan antara kaedah yang akan dibincangkan adalah penggunaan dana diluluskan sebagai subsidi mengikut per kilometer.
Katanya, langkah itu perlu memandangkan beberapa syarikat bas yang menjalankan operasi bas henti-henti terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang kini menghadapi masalah untuk mengekalkan perkhidmatan disebabkan masalah kewangan.

"Kerajaan menyedari impak perkhidmatan bas kepada pengguna pengangkutan awam dan sehubungan itu, SPAD akan terus komited untuk mencari penyelesaian komprehensif bagi menangani masalah yang timbul.

"Langkah itu adalah selaras dengan prinsip Rakyat Didahulukan yang sentiasa menjadi pendekatan kerajaan," katanya. - BERNAMA


sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/ar...-henti/Article