ALOR GAJAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mempunyai kuasa lebih  luas untuk mengambil tindakan terhadap pengguna yang melakukan kesalahan  lalu lintas di semua jenis jalan. 
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad, berkata sebelum ini,  tumpuan JPJ hanya di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan  jalan perbandaran, namun kini mereka yang  menggunakan jalan seperti di ladang, kebun, kampung serta kawasan  perumahan juga tidak akan terlepas, sekiranya melakukan kesalahan.
"Malah semua jenis kawasan letak kereta dan bahu jalan, kita boleh ambil  tindakan jika pemandu kenderaan terbabit melakukan kesalahan," katanya  kepada pemberita selepas majlis penutup program Satu Komuniti Satu JPJ  kawasan Dewan Undangan Negeri Lendu hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan  dan Pengguna Melaka, Datuk R Perumal, yang mewakili Ketua Menteri  Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 
Ismail berkata, penguatkuasaan undang-undang meliputi semua jenis jalan  Itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang  diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember lalu. 
"Sekarang ini cuma tunggu ia diwartakan, dan kita jangka ia dapat  dikuatkuasakan tidak lama lagi, iaitu dalam tahun ini juga," katanya. 
Beliau berkata, mengikut pindaan akta itu, pemilik kenderaan yang  bertukar alamat diberi tempoh dua minggu untuk memaklumkan alamat baru  kepada JPJ dan jika gagal, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap  mereka, termasuk kompaun sebanyak RM300. 
Ismail berkata, peraturan itu adalah bagi mengelakkan pemilik kenderaan  menggunakan alasan bertukar alamat sebagai helah mereka tidak menerima  saman yang dikeluarkan JPJ. 
Beliau berkata, JPJ juga sedang menaik taraf perkhidmatan untuk  pengguna, termasuk pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan melalui  kios yang diwujudkan di pasar raya. 
Pada program Satu Komuniti Satu JPJ itu, seramai 494 penunggang  motosikal berusia 45 tahun ke atas, berjaya memperoleh lesen memandu. -  BERNAMA
10/01/11
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

 
 
 
 
 

0 comments:
Catat Ulasan