SURA – Akibat terlalu asyik menikmati bulan madu, sepasang pengantin baru tidak menyangka aksi mereka di tepi pantai peranginan mengundang padah apabila diserbu sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Syariah (PPS), dekat sini, petang semalam.
Pasangan terbabit yang difahamkan baru dua minggu berkahwin datang ke bandar ini untuk berbulan madu dan menjadikan pantai peranginan sebagai pentas untuk memadu asmara.
Bagaimanapun, kelakuan kurang sopan pasangan terbabit yang menimbulkan syak masyarakat tempatan yang beranggapan mereka adalah pasangan kekasih bertindak memaklumkan kepada pihak PPS.
Pasangan pengantin baru yang dihampiri PPS itu bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah dengan menunjukkan surat nikah.
Selepas berpuas hati dengan keterangan dan dokumen yang diberikan, anggota PPS akhirnya membebaskan mereka.
Bagaimanapun, perbuatan mereka yang dipercayai berpelukan antara satu sama lain di tempat awam menjejaskan imej masyarakat Islam di sini.
Justeru, mereka diberi amaran keras oleh PPS dan dinasihatkan menjaga tingkah laku, biarpun sudah bergelar suami isteri kerana ia adalah satu kesalahan.
Pasangan lelaki yang difahamkan berasal dari Johor manakala wanita dari Kelantan itu kemudiannya dibebaskan selepas diberi amaran dan segala keterangan mereka diambil untuk tujuan rekod PPS.
Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 dengan jelas menyebut mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
1/01/11
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan