2/08/13

Filled Under: ,

Cara Ganti Puasa Ramadhan Dan Fidyah

fidyah


Cara Menggantikan Puasa Ramadhan

Orang Islam yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadhannya, wajib digantikan kembali puasanya jika ia berkuasa dan sakitnya sembuh selepas puasa nanti. Orang yang musafir yang berbuka puasanya disebabkan tiada kuasa dalam perjalanannya, maka ia diwajibkan ganti semula puasanya selepas bulan Ramadhan.

Tahun pertama orang yang meninggalkan puasanya atau berbuka puasanya, maka ia diwajibkan ganti semula kesemua puasa yang ditinggalkannya. Tetapi bagi orang yang memang tidak mampu untuk berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa, jika ia puasa akan mendatangkan kemudharatan kepadanya. Maka ia tidak diwajibkan menggantikan puasanya dan ia diwajibkan Fidyah kepada orang miskin.


Cara Mengeluarkan Fidyah

Maksud Fidyah ialah satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakilli satu hari yang tertinggal puasa Ramadhan padanya. Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib menyedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670gram. Contohnya sipulan telah meninggalkan puasanya sebanyak 5 hari, maka dia wajib membayar Fidyahnya sebanyak 5 cupak beras kepada fakir miskin. Firman Allah yang bermaksud :

“(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 184)

Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam telah memberikan keringanan (rukshoh) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar Fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin. Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadhan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin. Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya. Untuk semakkan atau perkiraan boleh klik di sini.

Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan Fidyah adalah dua perkara yang berbeza. Zakat fitrah lain dan Fidyah juga lain. Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar Fidyah, maka anda boleh wakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin.

Sekadar ini sahaja penjelasan saya, jika ada apa-apa yang tidak difahami dan ragu-ragu, maka boleh bertanya di ruangan komen di bawah ini. Insyaallah saya akan menjawabnya apabila ada masa lapang nanti. Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang buruk itu datang dari saya sendiri.