4/01/12

Filled Under: , , , ,

Nokia Dan MySpace : 10 Jenama Terkenal Di Dunia Bakal Pupus


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Rangkaian restoran makanan segera, A&W milik Yum! sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Amerika Syarikat, merupakan antara jenama paling berpengaruh yang bakal hilang daripada pasaran dunia tahun ini.

Kajian yang dilakukan oleh 24/7 Wall Street. com menyenaraikan A&W merupakan antara 10 jenama yang bakal hilang pada tahun ini bersama-sama jenama-jenama tersohor lain yang turut disenaraikan di Bursa Saham New York.

Jenama-jenama lain ialah Sears, Sony Pictures, American Apparel, Nokia, Saab, Soap Opera Digest, Sony Ericsson, MySpace dan Kellogg's Corn Pops.

Yum! yang turut menguasai kepentingan KFC, telah bertekad untuk menjual A&W sejak Januari tahun lalu, tetapi tiada pembeli atau pihak berminat untuk memiliki jenama rangkaian makanan segera itu.



Rangkaian makanan segera itu diasaskan pada tahun 1919 telah berkembang pada kadar yang amat pantas.

Selepas peperangan dunia kedua, 450 francais telah dibuka dan ia merupakan pengasas kepada kaedah jualan secara pandu lalu.

A&W memulakan jualan minumannya dalam versi tin pada tahun 1971, yang kini dimiliki oleh Dr. Pepper/Snapple.

Berdasarkan perkiraan semasa, perniagaan restoran A&W adalah terlalu kecil dan tidak berdaya maju kerana mempunyai 322 cawangan di Amerika Syarikat (AS) dan 317 cawangan di luar AS sehingga akhir tahun lalu di mana kesemuanya dikendalikan secara francais termasuk yang dimiliki KUB Malaysia Bhd. (KUB).

Bagaimanapun, KUB ketika dihubungi berkata, sekiranya benar jenama itu bakal hilang dari pasaran dunia, ia tidak memberi kesan secara langsung kepada pemegang hak itu di Malaysia.

Sebagai perbandingan, Yum! yang turut memiliki KFC, mempunyai 5,055 cawangan di AS dan 11,798 cawangan di serata dunia, malah dua jenama rangkaian makanan segera terbesar lain turut memiliki cawangan yang banyak.

Subway, yang terkenal dengan rangkaian sandwich memiliki 35,000 lokasi di seluruh dunia dan juga McDonald's yang hampir memiliki jumlah yang sama.

Berdasarkan perkiraan yang ada, A&W tidak memiliki keupayaan untuk memasarkan jenama tersebut berbanding pesaingnya yang sudah lama bertapak, begitu juga mengatasi jenama-jenama baru lain seperti Burger King.

Berikutan kekangan itu, A&W juga tidak berupaya untuk mengendalikan pembelian makanan secara pukal, logistik dan pengangkutan berbanding pesaing-pesaing yang beberapa kali ganda besarnya.

Menurut 24/7 Wall Street. com, 10 jenama yang akan hilang itu dikaji menerusi beberapa pendekatan yang diambil di dalam memutuskan jenama mana yang akan hilang dari pasaran.

Kriteria utama yang diambil bagi menentukan kehilangan jenama itu adalah kejatuhan mendadak di dalam jualan selain mengalami kerugian yang besar.

Turut menyumbang kepada faktor kehilangan tersebut adalah pendedahan syarikat induk bahawa jenama itu mungkin mencari jalan keluar dari perniagaan asal dan kenaikan mendadak kos yang secara tidak langsung menyumbang kepada kenaikan harga.

Selain itu, 24/7 Wall Street turut menyenaraikan beberapa kriteria lain yang menyumbang kepada kehilangan jenama tersebut di pasaran seperti syarikat-syarikat yang akan dijual, syarikat-syarikat yang jatuh bangkrap, firma yang kehilangan majoriti besar para pelanggannya atau syarikat yang beroperasi dengan kejatuhan pasaran saham.

"Jika 10 jenama yang disenaraikan termasuk di dalam masalah-masalah yang disenaraikan itu, kebarangkalian atau satu persepuluh pasti akan hilang berdasarkan dari kajian kami dalam tempoh 18 bulan," kata laman web itu.