Kiamat tidak berlaku tahun ini?
Siapalah kita sebagai hamba yang kerdil untuk mengkaji dan meramal segala urusan tuhan. Apakah dengan segala akal kita ini dapat menandingi kekuasaan tuhan yang Maha Hebat itu. Fikrikan sejauh manalah ilmu yang telah kita teroka, ilmu yang ada di bumi ini hanyalah setitis jika dibandingkan dengan segala ilmu yang dimiliki tuhan. segala kejadian dan ciptaan tuhan takkan tercapai dek akal Kebesarannya.
Sememangnya kita diberi akal untuk berfikir, tetapi cukup kita mengkaji untuk pengetahuan dan ilmu itu akan berguna untuk semua. Selain itu ia juga untuk kita memuji dan mekagumi Kekuasaan dan Kebesaran ALLAH s.w.t.
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Tiada teori fizik yang boleh dijadikan petunjuk untuk menentukan kiamat akan berlaku pada tahun ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna (UNOV) yang berpangkalan di Pusat Antarabangsa Vienna, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, bidang astro fizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.
"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahu pun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.
"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.
"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya pada sidang akhbar selepas sesi ceramah Prominent Malaysia bertajuk Unknown Universe di sini hari ini.
Program anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Planetarium Negara itu disertai lebih 200 peserta.
Diminta mengulas mengenai program penghantaran angkasawan untuk kali kedua, beliau berpendapat, ia tidak diperlukan selagi negara masih belum mempunyai idea sains dan teknologi yang kukuh.
"Apabila satu masa nanti kita sudah ada idea teknologi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dunia dan perlu diuji di angkasa, itu merupakan masa yang sesuai untuk kita menyambung program itu," jelasnya.
Diminta mengulas sama ada Malaysia memerlukan Program Angkasawan Kedua, Mazlan berkata, ia bergantung sama ada terdapat keperluan dari segi penyelidikan untuk berbuat demikian.
"Jika hanya ada satu cara untuk menguji teknologi kita iaitu dengan membawanya ke angkasa lepas, maka pada waktu itu penting untuk mengadakan satu lagi program angkasawan," ujar beliau.
Menurutnya, Malaysia tidak perlu mengulangi perkara yang dilaksanakan dalam Program Angkasawan Negara pada 2007 semata-mata untuk aktiviti sains.
Katanya, aktiviti sains boleh dijalankan menerusi banyak cara seperti yang dilaksanakan pelbagai pihak sekarang.
Sumber