24/10/12

Filled Under: , , ,

Asal Usul Kopitiam


Bilakah kali terakhir anda mengunjungi kedai kopitiam?

Kini, perkataan “kopitiam” menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat kita. Di merata-rata tempat di negara kita, baik di bandar, pusat beli-belah, pasar raya, mahupun di pekan kecil, adanya kopitiam.
Kopitiam merupakan antara kedai makanan yang menyediakan perkhidmatan makan dan minum untuk pengunjungnya. Kedai kopitiam memang diminati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia bukan sahaja untuk makan dan minum kopi, tetapi turut menjadi tempat untuk bersembang dan berbincang sesuatu. Oleh itu, kata kopitiam kelihatan sudah sebati dalam kalangan masyarakat kita.
Persoalannya, dari segi bahasa, adakah kata kopitiam ini merupakan kata yang berasal daripada bahasa Melayu atau kata pinjaman? Bilakah kata itu mula digunakan dan sejak bilakah pula mula digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat kita? Bagaimanakah salasilah kemasukan kata kopitiam ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu?





Asal usul kopitiam
Kata kopitiam merupakan kata yang berasal daripada bahasa Cina. Kopitiam merupakan sejenis masakan masyarakat Cina. Dalam Kamus Dewan, Edisi Keempat, entri kopitiam diberikan padanan makna “kedai kopi”. Selain itu, kata kopitiam turut ditandakan dengan maklumat etimologinya, iaitu tanda singkatan “C” (Cina) yang bermaksud kata tersebut berasal daripada bahasa Cina.
Bagaimanakah pula sejarah tercipta kata atau istilah tersebut? Masyarakat Cina telah mencipta kata kopitiam pada zaman dahulu lagi, yakni hasil gabungan antara kata “kopi” dalam Melayu dengan kata “tiam” dalam Cina. Ekoran penggunaannya yang semakin kerap, kata ini menjadi popular, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina. Kata kopitiam sememangnya tercipta dan berkembang di Malaysia seiring dengan pertumbuhan kedai kopitiam di mana-mana.
Kata kopitiam merupakan kata majmuk, iaitu gabungan kata “kopi” dan “tiam”. Kata kopi berasal daripada bahasa Melayu “Tiam” berasal daripada bahasa Cina, dialek Kantonis, yang bermaksud “kedai”. Sebenarnya, perkataan kopi dipinjam oleh bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris, iaitu coffee. Kata coffee pula masuk ke dalam bahasa Inggeris melalui bahasa Belanda, iaitu koffie. Kalau dijejaki lagi kata kopi, didapati bahawa kata ini berasal daripada kata bahasa Turki, iaitu kahveh. Demikianlah etimologi atau origin kata kopitiam.

sumber dbp.my