6/02/11

Filled Under: ,

Pemindahan Pelajar Malaysia Ke Jeddah Dijangka Selesai Ahad


KAHERAH, 5 Feb (Bernama) -- Operasi memindah keluar rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dijangka berakhir Ahad.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya sedang berusaha membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar yang secara sukarela mahu kembali ke tanah air.


MKN dan Wisma Putra akan berusaha menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok, katanya kepada pemberita Malaysia di sini Sabtu.

Bagaimanapun, katanya kelewatan mungkin berlaku jika pemindahan itu mengalami masalah birokrasi, cuaca buruk dan kebenaran berlepas yang lewat diberikan oleh pihak berkuasa lapangan terbang di mana pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia beroperasi.

Mohamed Thajudeen berkata sekiranya pemindahan keluar pelajar-pelajar itu dalam tempoh empat hari sejak Khamis lepas berjaya dilakukan, ia merupakan satu kejayaan bagi sebuah negara seperti Malaysia dalam melindungi keselamatan rakyatnya biarpun di luar negara.

Beliau berkata kejayaan itu dijangka dapat dicapai dengan pesawat tambahan yang akan disediakan oleh AirAsia selain dua pesawat MAS dan tiga pesawat Hercules TUDM.

Ditanya mengapa kerajaan Malaysia tidak membawa pulang terus para pelajar dari Kaherah ke Malaysia, beliau berkata yang paling utama bagi kerajaan ialah untuk memastikan nyawa para pelajar Malaysia di sini selamat.

-- BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan