1/02/11

Filled Under: ,

Bapa Nurin Jazlin 'sepatutnya saman Kosmo'



Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah RM2 juta terhadap polis dan kerajaan, yang dikemukakan Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin kakan-kanak yang dibunuh kejam tiga tahun lalu.


Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad mengenepikan saman Jazimin dengan kos terhadap bekas Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan kerana membuat kenyataan yang dianggap Jazimin sebagai fitnah, yang mengatakan bahawa kehilangan Nurin Jazlin berkaitan dengan Ah Long.

Dalam samannya pada 21 Ogos 2008, Jazimin berkata kenyataan defendan yang muncul dalam artikel akhbar harian di bawah tajuk "Siasat Ah Long Larikan Nurin" mengakibatkan nama baik dan reputasinya terjejas.

Beliau mendakwa kenyataan itu bermaksud beliau (Jazimin) berhutang dengan Ah Long dan perbuatan itu membahayakan nyawa anggota keluarganya.

Nurin Jazlin, 8, diculik berdekatan dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, pada 20 Oktober 2007, dan mayatnya ditemui dalam beg sukan 27 hari kemudian.

Dalam keputusannya Asmabi berkata selepas mendengar keterangan dalam perbicaraan penuh saman itu, mahkamah berpuas hati bahawa kata-kata fitnah yang disebut dalam saman itu bukan diucapkan oleh Khalid pada satu persidangan media.

Beliau berkata Khalid membuat persidangan akhbar itu pada 20 September 2007 bagi memaklumkan orang ramai berhubung perkembangan siasatan kes Nurin Jazlin kerana beliau mempunyai tanggungjawab moral dan tugas untuk memberitahu orang ramai kerana, ia merupakan kes berprofil tinggi dan kes yang mempunyai kepentingan awam.

Asmabi berkata pemberita Kosmo yang memberi keterangan di mahkamah mengaku bahawa beliau menulis artikel itu berdasarkan kepada pemahamannya mengenai apa yang dikatakan Khalid, dan ia bukan petikan sebenar kata-kata Khalid pada persidangan akhbar itu.

Pemberita itu mengakui bahawa beliau tidak menulis teks keseluruhan mengenai apa yang dikatakan oleh Khalid, tapi hanya menulis fakta-fakta utama.

Hakim turut berkata keterangan daripada pemberita New Straits Times dan Oriental Daily menunjukkan bahawa mereka tidak mendengar kata-kata yang disiarkan oleh akhbar Kosmo, yang memetik kata-kata Khalid mengenai peminjam wang secara haram.

Asmabi berkata kedua-dua pemberita itu berkata, kata-kata mengenai peminjam wang haram itu keluar dari mulut seorang pemberita yang bertanyakan Khalid mengenainya pada persidangan akhbar itu.

"Dalam perkara ini plaintif menamakan pihak yang salah dalam samannya, dia seharusnya menyaman Kosmo dan pemberitanya. Oleh itu saman ini ditolak dengan kos," katanya.

Peguam kanan persekutuan Noorin Badaruddin yang mewakili defendan memohon RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh plaintif kepada defendan.

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Jazimin, Natasha Bashir supaya kos itu dinilai kemudian nanti.

Jazimin semasa ditemui pemberita berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk menimbang kemungkinan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

- Bernama

0 comments:

Catat Ulasan