1/02/11

Filled Under: ,

500 pelajar Malaysia di Mesir akan dipindahkan




Seramai 500 pelajar Malaysia akan berpindah secara berperingkat-peringkat dari kediaman masing-masing ke Rumah Melayu Abasiah Mesir (ARMA) di Abasiah, Kaherah mulai hari ini.

Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) Muhammad Husaini Saleh berkata arahan perpindahan itu dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir bagi mengelak mereka menjadi mangsa keganasan rakyat negara itu yang mengadakan demonstrasi menuntut Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.


"Kami masih tidak mengetahui jumlah pelajar yang dapat dipindahkan ke ARMA sejak 25 Jan lepas kerana kerajaan Mesir telah menguatkuasakan perintah berkurung bermula pada hari berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad Husaini, yang juga pelajar perubatan di Universiti Kaherah, berkata perintah berkurung berkenaan dilaksanakan mulai 3 petang hingga 8 pagi esok (9 malam hingga 2 petang esok waktu Malaysia)

Menurutnya pelajar-pelajar Malaysia hanya mengetahui keadaan di luar menerusi paparan berita menerusi televisyen dan radio kerana kerajaan Mesir telah memotong talian internet bagi mengelakkan penyebaran anasir berunsur hasutan.

"Hanya talian telefon yang masih boleh digunakan," katanya.

Muhammad Husaini turut menghargai kerjasama yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir yang menghulurkan bantuan makanan serta pakaian kepada pelajar Malaysia yang terjejas.

Sejak Selasa lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura yang mengakibatkan kira-kira 100 nyawa terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera.

- Bernama

0 comments:

Catat Ulasan