SHAH ALAM: Mampu mengimbas siapa yang bakal masuk syurga atau ke neraka, mampu menghantar roh orang sudah mati ke Makkah untuk beribadat hingga kiamat dan memulihkan mangsa santau dengan bacaan Yassin secara mengundur - itu antara kebolehan luar biasa Tok Belagak.
Namun, semua itu dakyah songsang satu kumpulan dipercayai ajaran sesat yang kini bergiat aktif di pinggir bandar raya ini untuk mencari pengikut. Ia diketuai seorang bomoh lelaki berusia 50-an yang digelar Tok Belagak.
Mendedahkan perbuatan bertentangan akidah itu, seorang ibu tunggal yang mendakwa dua anak lelakinya berusia 30-an terpengaruh ajaran terbabit berkata, dia amat bimbang akidah anaknya akan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
Wanita berumur 56 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, pada mulanya kedua-dua anak lelakinya itu menemui lelaki terbabit untuk mendapatkan penawar penyakit dialaminya yang tidak sembuh sejak sekian lama.
“Pada mulanya anak-anak saya ingin mencarikan penawar untuk sakit saya dan tidak kebah sejak dulu. Namun, selepas diberikan air kononnya boleh menyembuhkan penyakit saya, anak tertarik untuk mengikuti ajaran kumpulan digelar Darul Saka itu.
“Mereka tertarik menyertai kumpulan itu selepas melihat penampilan ahli dan ketua ajaran terbabit. Dari luar mereka kelihatan alim dan warak serta selalu membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan anak untuk menyertai kumpulan mereka pada mulanya sejak dua tahun lalu.
“Tok Belagak pula tak kedekut menurunkan ilmu kepada anak saya untuk mengubati mereka yang terkena saka dan mereka seperti teruja kerana mempunyai ilmu itu,” katanya.
Namun, Siti pelik apabila anaknya membaca surah Yasin secara mengundur ketika mengubati orang yang mengalami sakit buatan orang atau dirasuk.
“Lebih menghairankan apabila Tok Belagak mendakwa boleh tahu berapa banyak amalan arwah suami saya ketika hidup. Arwah meninggal dunia lima tahun lalu dan Tok Belagak mendakwa mampu menghantar roh suami saya ke Makkah untuk beribadat sehingga kiamat untuk menampung dosa ketika masih hidup.
“Saya rasa itu dah cukup melampau kerana saya sentiasa mendoakan untuk arwah suami. Tok Belagak mendakwa dia tahu sejauh mana amalan arwah. Bagi saya itu semua kerja Allah dan dia tidak patut mengeluarkan kenyataan begitu,” katanya.
Siti berkata, dia mula mencurigai amalan kumpulan diketuai bomoh terbabit sejak Ramadan tahun lalu, apabila melihat anaknya yang rajin ke masjid atau surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat sunat tarawih tidak lagi berbuat demikian, malah tidak sekali pun melakukan ibadah itu.
“Bagai nak gugur jantung apabila mereka menyatakan tak perlu menunaikan solat tarawih di masjid atau surau kerana mereka bersolat dengan Rasullulah s.a.w di langit. Saya mempersoalkan kenyataan mereka, tetapi sedih betul anak-anak yang saya sayangi memarahi dan meminta saya tidak masuk campur urusan ibadah mereka,” katanya.
Menurutnya, dia kini buntu memikirkan cara untuk memulihkan akidah kedua-dua anak itu, namun pada pada sama tidak berani mendedahkan kegiatan songsang bomoh terbabit kerana bimbang keselamatan diri.
Katanya, sebelum ini dia pernah mengikuti anaknya ke tempat bomoh itu beroperasi untuk ikhtiar mengubati penyakitnya, tetapi selepas menghidu ajaran songsang bomoh terbabit, dia tidak lagi mengikut anaknya ke sana.
“Tok Belagak yang mempunyai isteri dan lima anak turut mendakwa menjalankan aktiviti membuang saka dari jarak jauh. Malah, dia mendakwa mempunyai kawasan jajahan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
“Saya difahamkan di kawasan Lembah Klang saja, lebih 300 pelajar institusi pengajian tinggi