4/02/13

Filled Under: , , ,

Krisis kewangan punca Nazmi Faiz pulang ke Malaysia


ISU kepulangan pemain remaja kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor pasti menjadi tajuk utama media arus perdana untuk sekurang-kurangnya sebulan.Meskipun PKNS Selangor sudah mengesahkan kemasukan Nazmi bersama kelab Selangor itu, persoalan utama,.. iaitu mengapa dia mahu menamatkan kontrak dengan S-C Beira Mar, tidak dijawab ketika sidang media pada Sabtu.

Sehari sebelum sidang media itu, hampir kesemua media arus perdana melaporkan rasa kecewa pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad terhadap kepulangan mengejut Nazmi.Secara tidak langsung, ia mungkin menimbulkan prasangka kurang baik terhadap Nazmi.

Namun, sumber yang rapat dengan Nazmi mendedahkan faktor sebenar mengapa permata muda bola sepak negara itu, mengambil keputusan untuk pulang dan menerima lamaran PKNS Selangor.S-C Beira Mar yang berpangkalan di Aveiro sebenarnya menghadapi masalah kewangan dan ia mungkin kesan daripada krisis kewangan Euro yang turut melanda Portugal selain Greece."Tiada siapa yang tahu, Nazmi hanya menerima 500 euro untuk tempoh enam bulan dia berada di Portugal dan keadaan itu amat menyulitkannya," kata sumber itu.


Nazmi juga dikatakan terpaksa keluar dari kediamannya dan menumpang di rumah rakan sepasukan, kerana tidak mempunyai wang untuk membayar sewa.Difahamkan bapa Nazmi, Mansor Mustapha ada merujuk kepada FAM mengenai kemungkinan membawa anaknya pulang dan diserapkan kembali ke skuad Harimau Muda A kendalian Kim Swee tidak lama sebelum ini.Bagaimanapun, FAM dikatakan sukar membayar yuran perpindahan buat Nazmi kepada Biera-mar yang dianggarkan sekitar 50,000 euro dan ia mendorong Mansor, untuk berbincang dengan PKNS atas nasihat ejen Nazmi, Marco Guimareas.

Justeru, kesimpulan isu ini adalah mudah, iaitu PKNS sedia membayar yuran perpindahan dan Mansor mahu mengambil pendekatan terbaik demi menyelamatkan karier anaknya."Mansor risau dengan situasi anaknya di Portugal dan tidak mahu karier Nazmi terjejas hanya kerana Biera Mar menghadapi masalah kewangan."Kerana itu, dia mengambil keputusan membawa anaknya pulang s PKNS sebagai pasukan baru Nazmi."


Meskipun kembali ke saingan Liga M, sudah pun terdapat usaha membawa Nazmi kembali ke luar negara pada masa depan dan PKNS, turut menyuarakan kesedian melepaskannya jika mendapat peluang yang baik," kata sumber yang rapat dengan Nazmi itu.

Tindakan Mansor dan juga Guimareas mungkin tampak membelakangi FAM, tetapi ia adalah mengikut garis panduan sah FIFA dalam urusan jual beli pemain seperti yang dinyatakan ejen itu.Apa pun, diharapkan FAM selaku badan induk bola sepak negara bersikap telus dengan pengurusan PKNS dalam usaha kelab itu menurunkan Nazmi untuk saingan Liga Super.PKNS selaku pasukan baru Nazmi pula, wajar melepaskan pemain itu jika dia menerima tugasan bersama skuad kendalian Kim Swee selepas ini.Perkembangan ini memberi gambaran jelas,....bahawa Nazmi pulang bukan kerana masalah peribadi seperti digembar-gemburkan dan juga bukan kerana tawaran lumayan PKNS.

Presiden Kelab Bola Sepak PKNS Selangor, Noor Hisham Ghouth sebelum ini mengakui akan merujuk dengan FAM, kerana mahu segera menurunkan Nazmi untuk aksi Liga Super berdepan Felda United 16 Febuari depan.Kelab itu, melabel Nazmi sebagai pemain amatur bawah umur 21 tahun yang boleh segera didaftarkan dalam pasukan.Namun, FAM dijangka mempunyai hujah tersendiri untuk tidak segera memberi kelulusan buat Nazmi beraksi.


Terdapat kemungkinan besar, FAM tidak akan mengiktiraf Nazmi sebagai pemain amatur bawah 21 tahun kerana dia sudah mempunyai kontrak profesional bersama Beira-Mar.Jika ini berlaku, Nazmi akan hanya boleh diturunkan pada April, apabila pintu perpindahan kedua pemain Liga M dibuka dan pemain ini tidak akan beraksi dalam saingan kompetitif untuk tempoh dua bulan.

Justeru, di sini perlu ada tolak ansur dari semua pihak terbabit bagi memastikan karier Nazmi tidak terjejas selepas pulang ke tanahair.Harapan penulis ialah, Nazmi meraih pengalaman berharga dengan kepayahan yang dilalui di bumi Portugal dan terus berusha mengembangkan karier di luar negara selepas ini.

Jika Nazmi meraih peluang kedua ke Eropah selepas ini,..pemain dari Lembah Keramat ini pasti lebih matang untuk mengharungi kesukaran bergelar pemain profesional di benua itu.