5/02/13

Filled Under: , , ,

Bakawali mekar Pukul 12 malam

BUNGA ini tidak seperti bunga-bunga lain yang berkembang pada waktu pagi. Bahkan apabila terkena cahaya matahari ia lantas layu.

Resmi bunga berwarna putih bersih ini amat berbeza kerana kelopaknya mula terbuka pada pukul 9 malam dan mekar sepenuhnya apabila detik 12 tengah malam. Lebih indah dipandang apabila ia berkembang ketika bulan mengambang.

Pada waktu yang sama, bunga bakawali akan mengeluarkan bau yang begitu wangi sehingga dapat dihidu ke seluruh kawasan sekitar. Ada yang mengatakan baunya seolah-olah minyak wangi atau bedak talkum yang mengasyikkan.

Bagaimanapun, begitu sukar untuk meramalkan bilakah detik ia berkembang. Oleh sebab itulah ramai yang mempercayai bahawa seseorang yang berpeluang menyaksikan ia mekar akan dilimpahkan rezeki.

Misteri

Tidak hairanlah bunga itu dianggap misteri oleh sesetengah pihak kerana ciri-ciri unik yang dimilikinya. Bahkan orang zaman dahulu yakin bunga tersebut mempunyai ‘penunggu’.

Selain mendapat jolokan sebagai Ratu Malam dan Kaktus Bulan, ia juga dikenali sebagai wijayakusuma oleh masyarakat Indonesia. Wijaya membawa maksud menang, manakala kusuma bererti bunga dalam bahasa Jawa.

Kononnya, seorang putera mahkota yang sedang menaiki takhta sebagai seorang raja Mataram di Indonesia pada zaman dahulu perlu memetik bunga itu ketika ia sedang berkembang.

Sekiranya tidak berbuat demikian, dia tidak akan diakui oleh oleh makhluk dunia nyata dan dunia halus sebagai pemegang takhta. Dipercayai tindakan itu adalah sebagai lambang mendapat restu daripada nenek moyang.

Biarpun unik, tidak ramai peminat landskap di negara ini yang menjadikan pokok itu sebagai salah satu elemen taman. Tumbuhan daripada keluarga kaktus itu mempunyai ciri fizikal yang seakan-akan pokok buah naga.

Seorang pengusaha hiasan landskap, Zaini Abdul Rahman, 42, menjelaskan, tumbuhan itu tidak begitu popular dalam kalangan peminat hiasan landskap walaupun bunganya cantik dan berbau harum.

“Ramai generasi hari ini yang tidak tahu tentang pokok bakawali. Memang jarang pelanggan yang meminta pokok itu ditanam di taman mereka.

“Kalau ada pun, permintaan itu datang daripada orang-orang tua yang suka dan arif tentang khasiatnya


Harum

“Seharusnya pokok itu dipopularkan semula terutamanya bagi mereka yang menggemari konsep Melayu.

“Baunya yang harum ketika kembang pada waktu malam akan menambah seri taman,” kata pemilik syarikat Best Fountain itu.

Pokok bunga bakawali dikatakan mempunyai pelbagai khasiat termasuklah dapat mengubat masalah rabun dan mencantikkan kulit. Embun yang melekat pada bunga tersebut yang disapu pada mata pula didakwa mampu membersihkan habuk pada bahagian sensitif itu.

Orang zaman dahulu turut menggunakan kelopak bunga bakawali dalam merawat luka manakala batangnya yang sudah dikeringkan dipercayai dapat merawat masalah darah tinggi dan kencing manis dengan memakan serbuknya.

Oleh kerana rasanya begitu pahit, bahan itu biasanya diambil bersama-sama buah pisang atau daun sirih.

Selain kepercayaan mitos tentang bunga itu, pernah diceritakan bahawa seorang wanita yang sedang asyik menunggu kelopak bunga itu berkembang pada waktu tengah malam telah diganggu oleh makhluk misteri.

Kejadian itu berlaku setelah dia terlelap seketika. Sejurus tersedar, dalam cahaya samar bulan purnama dia ternampak satu lembaga putih berlegar-legar di sekitar pokok yang bunganya sedang mekar itu.

Biarpun terdapat pelbagai kisah mitos bunga bakawali terutamanya di sekitar Nusantara, kebanyakan masyarakat hari ini tidak lagi mempercayai kisah mistik tersebut. Sebaliknya mereka menganggap pokok tersebut memiliki ciri-ciri yang begitu unik.

Bagi orang Melayu zaman dahulu, pokok tersebut dikatakan dijaga olah orang bunian. Apabila tiba waktu ia berkembang, seorang dewa kayangan akan turun untuk menjaganya sehingga ia layu menjelang subuh.

Dalam kepercayaan mitos Hindu kuno, bunga tersebut dikatakan dijaga oleh Dewa Kresna. Bakawali dianggap mempunyai magis kerana mampu menghidupkan orang yang telah mati mengikut kepercayaan tersebut.

Dalam sebuah kisah Hindu di Indonesia, diceritakan bahawa Dewa Arjuna telah mati akibat terminum air sungai beracun. Namun, dia hidup kembali setelah Dewa Kresna memberinya tujuh kuntum wijayakusuma yang sedang mekar.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/conten...#ixzz2JrupDp1G
Hakcipta terpelihara