AL KAIDA, Switzerland 24 Dis. - Seorang lelaki, di sini dilabel sebagai seorang pendaki berani mati kerana sanggup membahayakan diri dengan mendaki air terjun yang membeku, berada pada ketinggian 137 meter, semata-semata mahu mencapai kepuasan diri.
Detik-detik menakutkan yang dilalui pendaki tersebut, Walter Hungerbuhler semasa membuat pendakian itu sempat dirakamkan oleh seorang jurufoto, Rainer Eder yang berada di lokasi air terjun itu di kampung Wolfenschiessen, tengah Switzerland.
Hungerbuhler mengakui dia telah banyak kali melakukan pendakian di air terjun yang membeku semasa musim sejuk dengan menggunakan peralatan seperti tali dan tukul ais.
Katanya, dia mengambil peluang untuk mendaki air terjun Al Kaide itu yang merupakan air terjun paling sukar, walaupun berdepan risiko ais pecah dan mencair.
"Semasa mendaki, ais terjun akan mengeluarkan bunyi menyeramkan seolah-olah ia akan pecah dan mencair, tetapi bunyi tersebut merupakan petanda yang selamat," katanya.
Jurufoto terbabit, Eder berkata, lokasi ais terjun tersebut tidak berada jauh dari rumahnya.
"Keberanian Hungerbuhler sangat mengagumkan dan foto yang saya ambil sudah cukup menggambarkan keberanian tersebut," katanya.
Wolfenschiessen terletak di kawasan pergunungan berdekatan Tasik Lucerne dan wilayah itu terkenal dengan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan. - AGENSI