8/11/12

Filled Under: ,

Ketahui Hak Anda Bila Ditahan Polis


1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri

Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis

Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

* Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
* Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
* Putih : Polis Simpanan


Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam

Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis

Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.


2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri

Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain

Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:

* menjawab "ya"; tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau
* menggari anda.


Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).


3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan
mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda,anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis)mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhada anda mendesak anda supaya bekerjasama.


3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

* Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
* Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
* Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
* Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan didalam Nota Peribadi anda.
* Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
* Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda

Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

* Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
* Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
* Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir pernyataan anda.


4. POLIS MENANGKAP ANDA


4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:

1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.

Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:

* yang anda telah ditangkap;
* masa, tempat dan alasan ditangkap;
* Balai Polis di mana anda dibawa.


4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam

* Di Balai Polis, atau
* Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.