6/06/11

Filled Under: ,

25 Tahun | Tidak Pernah Ambil Cuti Sakit


KOTA BHARU, 6 Jun -- Seorang kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang beribu pejabat di sini dikatakan tidak pernah mengambil cuti sakit sejak 25 tahun berkhidmat.

Mohd Fakri Mohamad Noor, 48,
yang kini menjawat jawatan Ketua Komunikasi Korporat LKTN berkata biarpun sakit, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil cuti sakit biarpun ditawarkan oleh doktor.

"Ramai kakitangan kerajaan atau swasta yang terlalu memburu cuti sakit bahkan dalam setahun banyak yang mengambil cuti sakit sehingga menyebabkan mereka dipandang negatif oleh rakan sekerja.


"Mungkin sebab itu saya seboleh-bolehnya tidak mahu tergolong seperti ini. Hakikatnya saya manusia biasa yang tidak dapat lari dari sakit dan caranya ialah saya mengambil cuti kecemasan biarpun ditawarkan cuti sakit oleh doktor," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Kakitangan LKTN 2011 di sini pada Isnin.

Pada majlis itu beliau menerima sijil penghargaan kerana merupakan satu-satunya pegawai LKTN yang tidak pernah mengambil cuti sakit selama 25 tahun berkhidmat.

Mohd Fakri memulakan tugas sebagai juruteknik LKTN pada tahun 1986, kemudian menjadi Penolong Pengetua Pusat Latihan LKTN, disusuli memegang jawatan Pegawai Perancangan Korporat LKTN dan Pengarah LKTN Terengganu sebelum memegang jawatan sekarang.

Beliau berkata antara faktor lain beliau tidak pernah mengambil cuti sakit ialah kerana cuti tahunannya yang banyak terkumpul kerana jarang mengambil cuti yang diperuntukkan.

"Jadi saya tidak perlu mengambil cuti sakit, memadai hanya ambil cuti tahunan atau cuti kecemasan.

"Lagipun untuk masa bersama keluarga, rasanya memadai saya meluangkan masa bersama mereka pada cuti hujung minggu. Malahan sehingga kini cuti terkumpul saya masih berbaki 80 hari lagi," katanya yang mempunyai lima orang anak.

Selain itu Mohd Fakri dikenali jarang mengambil cuti tahunan yang panjang kerana beliau berazam akan meneruskan rekod tanpa cuti sakit sehingga menamatkan perkhidmatannya di LKTN.

"Insya-Allah, saya akan cuba mengekalkan prestasi kerja ini dengan sebaik mungkin dan memberikan komitmen sepenuhnya kepada agensi," katanya.

2 comments: