Alfred Noble
Hadiah-hadiah Nobel ialah hadiah yang dimulakan oleh wasiat Alfred Nobel, dan dianugerahkan kepada individu (dan juga pertubuhan dalam kes Hadiah Keamanan Nobel) yang telah melakukan penyelidikan yang ulung, mencipta teknik atau radas yang luar biasa, atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat. Hadiah-hadiah Nobel yang umumnya dianugerahkan setiap tahun dalam kategori-kategori yang disenaraikan di bawah, dianggap secara meluas sebagai pujian yang tertinggi dalam dunia pada hari ini.
Sejak November 2005, sebanyak 776 buah Hadiah Nobel telah dianugerahkan (758 kepada individu dan 18 kepada pertubuhan). Bagaimanapun, beberapa pemenang hadiah telah menolak anugerah ini. Terdapat juga tahun-tahun yang hadiah ini tidak dianugerahkan; umpamanya, semasa Perang Dunia II, hadiah-hadiah Nobel langsung tidak dianugerahkan antara tahun 1940 dan 1942. Khususnya, pemilihan hadiah keamanan amat terjejas oleh pendudukan Jerman Nazi di Norway.
Hadiah-hadiah Nobel harus dianugerahkan sekurang-kurangnya satu kali pada setiap lima tahun. Calon-calon harus masih hidup pada masa pencalonan dan sejak tahun 1974, anugerah ini tidak boleh diberikan selepas mati. Hadiah yang diberikan tidak boleh ditarik balik.
Kategori hadiah
Hadiah Nobel dalam Fizik Dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden kepada "individu yang telah membuat penemuan atau rekaan yang paling penting dalam bidang fizik".
Hadiah Nobel dalam Kimia Dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden kepada "individu yang telah membuat penemuan atau pembaikan kimia yang paling penting".
Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan Dianugerahkan oleh Karolinska Institutet kepada "individu yang telah membuat penemuan yang paling penting dalam bidang fisiologi atau perubatan".
Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan Dianugerahkan oleh Akademi Sweden kepada "individu yang telah menghasilkan karya berkecenderungan idealistik yang paling cermelang dalam bidang kesusasteraan".
Hadiah Keamanan Nobel Dianugerahkan oleh Jawatankuasa Nobel Norway kepada "individu yang telah membuat kerja yang paling banyak atau paling baik untuk persaudaraan antara negara, penghapusan atau pengurangan tentera tetap, ataupun mengadakan dan mempromosikan kongres-kongres keamanan".
Hadiah Peringatan Nobel
Hadiah Peringatan Nobel dalam Ekonomi Juga dikenali sebagai Hadiah Bank Sweden dalam Sains Ekonomi untuk Peringatan Alfred Nobel, hadiah ini dimulakan pada tahun 1969 oleh Sveriges Riksbank (Bank Sweden). Walaupun hadiah ini dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden pada waktu yang sama dengan Hadiah-hadiah Nobel – dan menyebabkan banyak orang dan pengulas menganggapnya sebagai satu "Hadiah Nobel" – berdasarkan alasan-alasan teknik, hadiah ini bukannya sebuah hadiah Nobel kerana hadiah ini tidak diwasiat oleh Alfred Nobel atau dibiayai oleh pusakanya.
Upacara penganugerahan
Jawatankuasa-jawatankuasa dan institusi-institusi yang berperanan sebagai lembaga pemilihan untuk penghadiahan lazimnya mengumumkan nama-nama penerimanya pada bulan Oktober. Hadiah-hadiah ini dikurniakan di upacara rasmi yang diadakan pada 10 Disember setiap tahun, iaitu ulang tahun kematian Alfred Nobel.
Upacara hadiah keamanan diadakan di Institut Nobel Norway sejak tahun 1905 hingga 1946, kemudiannya di Aula Universiti Oslo, dan kini di Dewan Bandaraya Oslo sejak tahun 1990. Upacara hadiah lain pula diadakan di Dewan Konsert Stockholm sejak tahun 2005.
Setiap anugerah boleh dikurniakan kepada tidak lebih daripada tiga penerima setiap tahun. Setiap hadiah mengandungi sebutir pingat emas, diploma, dan sejumlah wang. Hadiah wangnya pada masa kini bernilai 10 juta krona Sweden (bersamaan dengan sedikit lebih sejuta euro atau kira-kira 1.3 juta dolar Amerika Syarikat). Asalnya, ini dimaksudkan untuk membolehkan para penerima untuk menyambungkan kerja-kerja atau kajian merkea tanpa tekanan pembiayaan. Sebenarnya, kebanyakan pemenanng sudah bersara sebelum meraih hadiah mereka. Jika terdapat dua pemenang dalam satu kategori, maka hadiah wang itu dibahagikan sama rata untuk dikongsi kedua-dua mereka. Jika terdapat tiga pemenang pula, suruhanjaya penganugerahan boleh memutuskan sama ada untuk membahagikan wang itu sama rata untuk ketiga-tiga mereka, atau mengurinakan separuh wang itu kepada seorang pemenang dan separuh yang lain dikongsi sama rata oleh dua pemenang lain itu. Para penerima juga sering menderma wang hadiah mereka untuk tujuan saintifik, kebudayaan atau kemanusiaan.
Sejak tahun 1902, Raja Sweden sentiasa mengurniakan hadiah-hadiah Nobel secara rasmi, kecuali Hadiah Keamanan Nobel, di Stockholm. Raja Oscar II mula-mulanya tidak berkenan dengan pemberian hadiah kebesaran kebangsaan kepada warga asing, tetapi adalah dikatakan bahawa pendirian baginda berubah setelah menyedari nilai publisiti hadiah-hadiah ini kepada negara.
Hadiah Keamanan Nobel pertama dianugerahkan pada tahun 1901, oleh Presiden Parlimen Norway sehingga Jawatankuasa Nobel Norway ditubuhkan pada tahun 1904. Lima ahli jawatankuasa ini dilantik oleh Parlimen Norway (Stortinget), dan diamanahkan dengan kerja penyediaan yang berkaitan dengan hadiah berkenaan dan penganugerahan Hadiah Keamanan Nobel. Ahli-ahlinya bebas dalam menjalankan tugas mereka dan tidak menjawab kepada penggubal undang-undang. Ahli-ahli kerajaan Norway tidak dibenarkan menyertai kegiatan jawatankuasa ini. __________________