6/10/11

Filled Under:

Steve Jobs Akan Dikenang Setaraf Dengan Thomas Edison & Albert Einstein


KEMATIAN Steve Jobs pada usia yang secara relatifnya muda iaitu 56 tahun kerana penyakit kanser akan dikenang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia komputer dan teknologi maklumat.

Malah kepada generasi hari ini Jobs mungkin lebih popular dan lebih dikenali daripada sesetengah menteri kabinet.

Bersama-sama Steve Wozniak, mendiang telah mencipta komputer yang kelihatan lain dari yang lain dan diberi nama Apple dan selepas itu Apple I dan kemudiannya Apple II, pada tahun-tahun 1970an.

Orang berkata komputer dan gajet yang dicipta oleh Jobs mempunyai gaya dan hakikatnya memang benar pun. Lihatlah Macintosh, iMac, iPod, iPhone dan iPad.

Dan dengan terciptanya iTunes Store pada 2003, Jobs telah membuka dimensi baru kepada bidang perniagaan digital sekaligus merubah wajah dunia muzik.

Menjelang 2008, iTunes Store merupakan gudang utama para konsumer membeli muzik secara digital.

Dan dunia tanpa wayar telah benar-benar melalui satu proses transformasi dengan terciptanya iPhone pada tahun 2007. Sebelum itu, dunia telefon pintar hanya berkisar kepada dunia BlackBerry sahaja.

Jobs mengubah wajah telefon pintar dengan menjadikan iPhone sebagai peranti kepada dunia pengkomputeran mudah alih dan bukan sekadar telefon semata-mata - sesuatu yang tidak terlintas di kepala para pencipta telefon pintar ketika itu.

Ciptaan demi ciptaan yang dilakukan Jobs sepanjang hayatnya akan menjadikannya seorang ikon sepertimana Thomas Edison dan juga Albert Einstein.

Bagaimanapun apa yang membezakan Jobs dengan pencipta yang lain ialah dia bukan sekadar mencipta tetapi mencipta produk dengan nilai komersial.

Ini sekaligus menjadikan Jobs sebagai ikon yang mempunyai pengikut dan pengikut setia. Ini beliau buktikan menerusi iPad. iPad mengubah wajah dan hubungan manusia dengan gajet. Ia menghampiri hubungan manusia dengan binatang kesayangan.

Hari ini tidak ada manusia yang savi teknologi yang ke mana-mana tanpa iPad seolah-olah jika tanpa iPad, kita tergolongan dalam kumpulan manusia buta gajet.

Sejak dilancarkan pada April 2010, sudah hampir 30 juta tablet iPad terjual di seluruh pelusuk dunia. Pelbagai pesaing turut mencuba melahirkan tablet yang serupa tetapi tidak ada seorang pun yang dapat menyaingi kehebatan dan keistimewaan iPad dari sudut kejayaan.

Sebahagian besar daripada kejayaan ini disumbangkan oleh cara penggunaannya yang mudah dan disokong oleh ‘App Store’ dengan lebih 140,000 program yang boleh dimuat turunkan. Inilah yang gagal disaing oleh pesaing-pesaing Apple.Bukan sahaja iPad malah iPhone disokong oleh 500,000 aplikasi.

Namun begitu, untuk berlaku jujur, perlulah disebut di sini bahawa bukan semua sentuhan Jobs mendatang hasil atau bertukar menjadi emas. Terdapat juga beberapa produk yang menemui jalan kegagalan seperti Apple III (1981); Lisa (1983) dan Next Computer (1989). Kesemuanya kerana harga yang terlalu tinggi dan tidak mesra pengguna.

Perjalanan karier beliau bersama Apple juga ada turun dan naik. Selepas Wozniak meninggalkan Apple pada 1985, Jobs telah ‘dipaksa’ meninggalkan syarikat yang beliau bina sendiri selepas berselisih faham dengan anggota-anggota lembaga pengarah termasuklah dengan orang yang beliau bertanggungjawab membawa masuk ke Apple iaitu John Sculley, bekas presiden PepsiCo.

Walaupun berasa pedih dan pahit dengan penyingkirannya dari Apple, Jobs berkata pemecatannya itu adalah perkara terbaik yang pernah berlaku ke atas dirinya.

Penyingkiran itu telah membebaskan Jobs dari belenggu pejabat dan membolehkannya menumpu sepenuh perhatian kepada aspek kreatif di dalam penciptaannya.

Tetapi seperti sudah ditakdirkan selepas 12 tahun, Jobs dipanggil kembali ke Apple iaitu pada tahun 1997. Pada ketika itu, Apple menanggung kerugian sehingga AS$1 bilion.

Pada fasa kedua hidupnya dengan Apple yang menyaksikan Jobs muncul dengan komputer Mac yang pelbagai warna dan kelihatan sangat lain daripada komputer biasa. Ia mencetuskan revolusi dalam penciptaan rekabentuk komputer.

Dan dari iMac pada tahun 1998, muncul iPod pada 2001, iTunes Store dua tahun kemudian dan selepas itu iPhone pada 2007.

Pada 2004, beliau telah dikesan menghidapi kanser pankreatik. Awal tahun ini Jobs telah mengambil cuti sakit yang panjang untuk menjalani rawatan intensif dan pada 24 Ogos beliau mengejutkan para peminatnya dan juga pengikut setia Apple dengan mengumumkan persaraannya. Ironinya, Jobs meninggal dunia sehari selepas syarikatnya melancarkan iPhone 4.

Pada tahun Jobs dikesan mengidap kanser dan ketika itu beliau berusia 50 tahun, beliau telah menyampaikan ucapan di hadapan graduan-graduan Universiti Stanford. Dalam ucapannya itu, Jobs telah dipetik sebagai berkata;

"Tidak ada siapapun dalam dunia ini yang ingin mati. Malah orang yang ingin masuk ke syurga pun jika ditanya sama ada dia bersedia melalui proses kematian pun akan berkata tidak bersedia.

“Tetapi kematian adalah satu destinasi yang kita semua terpaksa tujui. Tidak ada orang yang akan terlepas daripada kematian. Dan itulah hakikatnya kerana kematian adalah ciptaan yang terbaik di dalam kehidupan. Ia adalah agen perubahan dalam kehidupan. Ia menghapuskan yang lama bagi membuka laluan kepada yang baru.

“Pada saat ini saudara-saudari semua adalah yang baru tetapi tidak lama kemudian saudara-saudari akan menjadi yang lama dan akan terhapus dengan sendirinya. Saya minta maaf jika kelihatan terlalu dramatik tetapi ini adalah satu kebenaran."