12/10/11

Filled Under:

Pengasas sos Aminah Hassan meninggal


SHAH ALAM: Pengasas perniagaan kicap dan sos terkenal keluaran Bumiputera jenama Aminah Hassan, Aminah Othman meninggal dunia di rumah anaknya di Seksyen 11 di sini, jam 9.10 pagi semalam kerana sakit tua.

Allahyarhamah yang berumur 76 tahun menghembuskan nafas terakhir di samping ahli keluarga terdekat.

Allahyarhamah pernah menghidap angin ahmar selama lima tahun sehingga menyebabkan beliau sukar mengingat atau mengenali seseorang.

Anaknya, Datuk Mohd Taib Hassan, berkata jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini selepas Zuhur semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat dan kenalan arwah yang datang melawat,” katanya di sini, semalam.

Mohd Taib berkata, perniagaan sos jenama Aminah Hassan masih diteruskan dan ia menjadi perniagaan keluarga, malah beliau turut menafikan perniagaan itu dijual kepada syarikat bukan Bumiputera.
Menyingkap sejarah perniagaan, bermula dengan perniagaan kicap dan sos secara kecil-kecilan di Kampung Merdeka, Batu Pahat pada 1966, perniagaan makanan itu berkembang maju sebelum Allahyarham membuka kilang pengeluaran di Jalan Kapar, Klang.

Jenama Aminah Hassan gabungan nama Aminah dan suaminya, Hassan Abu Bakar.

Bermula dengan sos cili, Aminah Hassan menghasilkan 10 produk termasuk sos tomato, sos tiram, kicap dan sos lada hitam.

Pasarannya bukan hanya di peringkat tempatan, malah menembusi United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan negara di Asia Barat.

Di UK, AS dan Australia, Aminah Hassan memasarkan produknya menggunakan jenama ‘AH’, tetapi di Asia Barat seperti di Arab Saudi, Kuwait dan Dubai, sosnya dipasarkan pengimport menggunakan jenama mereka.