2/03/11

Filled Under: ,

Amerika Mahu Serang Libya


KAPAL induk pengangkut pesawat USS Enterprise belayar melalui Terusan Suez di Mesir pada 15 Februari lalu. Kapal tersebut diarah belayar ke Laut Mediterranean dekat Libya, berkemungkinan sebagai persediaan AS menyerang negara sedang bergolak itu. - REUTERS


TRIPOLI 1 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berhimpun dekat sempadan Tunisia semalam manakala Amerika Syarikat (AS) menggerakkan kapal perang dan tentera udaranya menghampiri Libya.

Penduduk bimbang askar pro-Gaddafi sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan bagi menawan semula bandar Nalut, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Tunisia di barat Libya, daripada penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan beliau.

AS dan kerajaan asing lain semalam membincangkan langkah ketenteraan yang boleh diambil terhadap Libya sementara Gaddafi memperkecilkan ancaman terhadap rejimnya daripada pemberontakan rakyat yang semakin meluas.

Dalam kecaman paling keras terhadap pemimpin Libya itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata, Gaddafi mengalami 'delusi dan sudah terpisah daripada realiti', 'menyembelih rakyatnya sendiri' dan tidak layak untuk memimpin.

Katanya, Washington sedang berunding dengan rakan-rakan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta sekutu lain mengenai tindakan ketenteraan ke atas Libya.

AS yang menempatkan Armada Keenamnya di Itali berkata, tentera laut dan udaranya digerakkan lebih hampir dengan Libya sementara pelbagai pelan luar jangka sedang dirangka.

AS juga berkata, aset Gaddafi dan keluarganya bernilai kira-kira AS$30 bilion (RM93 bilion) di AS telah dibekukan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, kerajaannya akan berusaha untuk menguatkuasakan zon 'larangan terbang' di Libya bagi melindungi rakyatnya daripada serangan udara tentera Gaddafi.

Gaddafi, 68, menolak desakan supaya beliau berundur dan memperkecilkan kekuatan pemberontak yang telah menamatkan pemerintahannya di timur Libya dan kini semakin menghampiri ibu negara, Tripoli.

"Semua rakyat saya mengasihi saya, mereka sanggup mati untuk melindungi saya," katanya kepada rangkaian televisyen AS, ABC dan Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam wawancara di sebuah restoran di Tripoli semalam.

Beliau menafikan tentera udaranya menyerang penunjuk perasaan, sebalik mendakwa pesawat pejuang Libya mengebom lokasi tentera dan depot senjata.

Ketika pemberontakan masuk ke minggu ketiga, situasi di kawasan konflik sukar dipastikan disebabkan masalah untuk bergerak di beberapa bahagian negara ini serta sistem komunikasi yang tidak lancar.

Seorang penduduk Nalut berkata, askar Gaddafi yang tiba dengan kenderaan dilengkapi mesingan berat sudah mengepung kawasan dekat sempadan Tunisia. - Reuters

0 comments:

Catat Ulasan