31/12/10

Filled Under: ,

2 Beradik pecah rekod tekan tubi 1111 kali

Dua beradik cipta rekod

Oleh SANTHY MUTHALU
santhy.muthalu@utusan.com.my


T. THURGASHREE didukung oleh bapanya, N. Thanabalasingmam, Logassree (kakak) masing-masing memegang sijil Malaysia Book of Records bergambar sama keluarga pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 30 Dis. - Seorang kanak-kanak yang berumur empat tahun berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records apabila membuat tekan tubi sebanyak 1,111 kali tanpa henti dalam masa 32 minit 21 saat.

T. Thurgashree, 4, yang masih tidak pandai bertutur itu ternyata memukau kira-kira 100 penonton yang hadir menyaksikannya melakukan rekod tersebut untuk kategori kanak-kanak.


Antara yang hadir termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Presiden Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi.


Sementara itu, kakaknya, T. Logassree, 8, pula berjaya mengangkat palang besi seberat 21 kilogram dengan menggunakan dua jari telunjuk selama 10 saat.

Sebelum ini, Logassree pernah mencatatkan namanya dalam Malaysia Book of Records pada 2008 dalam kategori angkatan paling berat oleh kanak-kanak.

Pada majlis itu, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, beliau sangat teruja dan bangga dengan kebolehan yang ditonjolkan oleh dua beradik itu.

"Latihan yang intensif dan sistematik dalam sukan boleh membuahkan hasil yang dirasakan mustahil pada kaca mata masyarakat.

"Selain itu, ibu bapa juga patut memberi sokongan 100 peratus bagi membantu kanak-kanak untuk mencapai kejayaan luar biasa itu," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan percubaan kedua-dua mereka dalam mencipta rekod Malaysia Book of Records di sini hari ini.

MIC turut menyumbangkan RM1,000 kepada setiap kanak-kanak itu bagi memberi sokongan kepada mereka agar meneruskan usaha mencipta rekod pada masa depan.

Dalam pada itu, bapa kedua-duanya, yang juga merupakan jurulatih angkat berat, M. Thanabalasingam berkata, beliau memastikan kedua-dua anaknya membuat latihan selama empat jam sehari sejak enam bulan lalu.

"Menu makanan mereka juga terpaksa ditukar kerana mereka tidak boleh makan makanan yang pedas atau berminyak, malah saya hanya memberikan makanan Barat sejak latihan dimulakan.

"Kini cita-cita saya hanyalah satu iaitu melakarkan nama anak-anak saya di dalam Guiness World Records," katanya.

Menurutnya, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan membantu bagi menjayakan cita-citanya itu.

Sebelum ini, anak lelakinya iaitu T. Tirilohgan, 12, turut mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dua tahun lalu apabila mengangkat palang besi seberat 25 kilogram dengan menggunakan dua jari kelingkingnya.

0 comments:

Catat Ulasan