10/12/15

Filled Under:

Budak 7 tahun kena caj tiket dewasa, KTM dihentam pengguna


KTMB menjelaskan potongan harga 50 peratus diberikan kepada pelajar yang memakai seragam sekolah, ko-kurikulum atau asrama. ― Foto fail

KUALA LUMPUR - Semalam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuat pengumuman terbaru berkenaan harga tiket menerusi akaun Twitter mereka.

KTMB mengumumkan harga tiket komuter bagi kanak-kanak 7 tahun ke atas adalah sama dengan harga tiket dewasa berkuatkuasa pada 2 Disember lalu.




Dengan kadar baru tambang KTM Komuter yang berkuatkuasa sejak 2 Disember lalu, kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut kini perlu membayar tambang tiket dewasa, kata syarikat keretapi utama itu.

“Syarat baru tiket komuter untuk kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah adalah percuma. Usia dua hingga enam tahun diskaun 50 peratus.

“Diskaun 50 peratus diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Syarat kelayakan memakai seragam sekolah, ko-kurikulum atau asrama,” kata KTMB di akaun Twitter @ktmkomuter diakhiri dengan emotikon "smiley".




Menurut KTMB lagi, struktur tambang baru itu berdasarkan kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan dipersetujui oleh kabinet.

Sebelum struktur baru tambang ini, kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun dikenakan bayaran separuh harga tiket dewasa.

Bagaimanapun, pengguna media sosial mengkritik tafsiran “dewasa” KTMB, menuduhnya ingin mengaut untung apabila menggunakan kadar dewasa kepada kanak-kanak.

Mengikut Akta Umur Dewasa 1971, umur dewasa di Malaysia bagi setiap lelaki dan perempuan ialah 18 tahun.

Ramai juga menyifatkan pengumuman berkenaan tidak kena pada masanya di saat pengangkutan awam menjadi keutamaan rakyat berpendapatan rendah pada masa ini.