27/09/15

Isu hartanah Kampung Baru dikhuatiri sukar diselesaikan


KUALA LUMPUR: Selain aspek penilaian harga, soal pemilikan hartanah berbilang nama dengan waris yang tidak dapat dijejaki turut antara sebab membantutkan pelan pembangunan masa depan Kampung Baru di ibu negara.

Bagi mengatasinya, pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) menyatakan masalah itu boleh dibantu melalui program Jejak Waris.

“Pihak PKB ada pasukan khas yang kita panggil Jejak Waris. Apabila ada pihak datang ke PKB untuk memberitahu permasalahan mereka dan kita tahu sesebuah lot mempunyai masalah, kita akan guna segala rangakaian hubungan yang kita ada termasuk Pejabat Tanah untuk cari pewaris-pewaris,” ujar Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari.

Menurut Affendi, sejak program itu ditubuhkan Mei lalu, pihak PKB telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes melibatkan lot dan pewaris. Bagi semua kes tersebut, status tanah tersebut sudah sedia untuk dijual sekiranya itu kehendak pemiliknya.

“Tentang pertikaian nilai hartanah pula, para pewaris sering tertanya-tanya apakah penilaian yang patut. Mereka selalu bandingkan dengan nilai tanah di luar kawasan Kampung Baru yang jauh lebih tinggi. Namun itulah nilai yang diberi oleh pihak jurunilai ternama di Kuala Lumpur,” katanya.

Untuk mengatasinya, pihak PKB telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk melantik enam jurunilai seterusnya memberi kata putus mengenai ‘nilaian akan datang’ tanah Kampung Baru.

Pada masa ini, nilai sekaki persegi hartanah di Kampung Baru dinilai sekitar RM350 hingga RM500 sedangkan tanah komersial yang bersempadan pula berganda-ganda lebih tinggi.

Masalah paling besar tentang hartanah di Kampung Baru ini adalah tentang pewaris. Butiran dalam statusnya tidak dapat dilengkapi kerana ramai penama telah meninggal dunia
26 September 2015 

Kehendak pewaris

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani berkata dalam perbincangan itu beliau bertindak sebagai perantara bagi memastikan suara para pewaris diberi perhatian oleh PKB.

Kata Johari, kehendak para pemilik tanah Kampung Baru terbahagi kepada tiga. Pertama adalah golongan yang sekadar mahu menjual, kedua adalah mereka yang mahu tanah mereka dibangunkan manakala yang ketiga adalah pemilik tanah yang hendak terus duduk di tanah mereka tanpa mahu dibangunkan.

“Jadi, bagaimana kita mahu menggabungkan usaha ini?

Kita boleh meyakinkan kepada mereka yang sekadar mahu duduk itu bahawa mereka boleh terus menghuni Kampung Baru tapi di dalam kawasan yang dibangunkan,” kata Johari.


Nilai pulangan

Salah seorang pewaris Samsudin Mat, 59, antara masalah yang dihadapi adalah untuk menggabungkan persetujuan beberapa pemilik tanah dengan saiz keluasan hartanah kecil bagi membolehkan tanah mereka dijual.

“Satu lagi adalah tentang manfaat. Apa yang kita dapat? Sebab kalau manfaatnya terlalu sedikit, kita rasa rugilah kerana Kampung Bharu ni berada di tengah-tengah Kuala Lumpur. Itulah saja harta yang kita ada.

“Saya juga mencadangkan supaya perkara ini dipercepatkan supaya tidak menjadi lebih sukar pada masa akan datang. Sekarang ini kita sudah generasi ketiga, malah ramai yang sudah meninggal dunia dan tanah mereka kini diwarisi oleh berbilang penama,” kata Samsudin.

Tambahnya, hal itu membuatkan bahagian masing-masing menjadi lebih kecil sekali gus waris tidak melihat pembahagian nilai jualan itu berbaloi.


Bina kondominium

Naib Presiden Kanan syarikat pembangun UDA Holdings Berhad, Adenan Md Yusof, ketika ditemui berkata, perancangan pembangunan tersebut meliputi kawasan seluas kira-kira 1.13 hektar yang sebelum ini merupakan Pasar Minggu Kampung Baru.

Sebuah kondominium 639 unit dengan status khas Bumiputera dan sebuah bangunan pejabat akan dibangunkan dan dijangka mengambil tempoh pembinaan selama 40 bulan.

Harga seunit kondominium itu adalah sekitar RM300,000 hingga melebihi RM1 juta mengikut keluasan.

Sebelum UDA dapat mula membangunkan tanah ini, perkara-perkara berkaitan perlu diselesaikan terlebih dahulu," ujar Adenan.

--Awani

Netizen sangsi bacaan IPU catat sederhana tapi di luar tak nampak apa



KUALA LUMPUR: Bermula pagi tadi, rakyat Malaysia kembali resah apabila jerebu mula menampakkan petanda untuk muncul kembali.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila ramai yang mula twit keadaan di kawasan mereka yang tampak kembali 'berkabus' menjelang tengah hari tadi.

Namun apa yang menghairankan ramai ialah apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU), khususnya di Lembah Klang, mencatatkan bacaan sekitar 60 hingga 70 sahaja, iaitu tahap sederhana.

Netizen sebaliknya berpendapat dengan keadaan sekeliling yang mula terhad jarak penglihatannya, adalah mustahil bacaan IPU adalah sederhana.

Setakat jam 3.56 petang, kawasan yang mencatat IPU paling tinggi ialah Balok Baru, Kuantan dengan bacaan 132.

Ramai pengguna media sosial turut berkongsi keadaan kawasan masing-masing.

sumber : http://www.astroawani.com/gaya-hidup/jerebukembali-netizen-sangsi-bacaan-ipu-74551

Kayu selfie diharamkan di 1,195 stesen kereta api laju Jepun



TOKYO: Warga Jepun suka bergambar, hinggakan telefon pintar, media sosial dan kayu selfie menjadi amat popular di negara itu.

Justeru, selain telefon pintar, kayu selfie menjadi alat yang sangat biasa dilihat di destinasi pelancongan Jepun.

Ini kerana perjalanan di negara itu tidak lengkap tanpa gambar kenangan berkumpulan berlatarbelakangkan tarikan terkemuka seperti kereta api laju dan jenis makanan yang mungkin ditemui.

Bagaimanapun, mulai hujung minggu lalu, pengendali kereta api laju di barat Jepun mengharamkan penggunaan kayu selfie.

West Japan Railway atau JR West mengumumkan, mulai Sabtu lalu penggunaan kayu selfie tidak lagi dibenarkan di 1,195 stesen syarikat itu, termasuk kawasan kereta api laju Shinkansen.

Dua sebab diberi untuk pengharaman itu, antaranya, kayu selfie mungkin menjejaskan wayar di bahagian atas kepala, memandangkan rekaan stesen dilakukan sebelum kayu selfie dicipta.

Selain itu, tindakan menggunakan alat itu mengganggu kelancaran penumpang keluar dan masuk. - Agensi


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/83719

Jerebu : Indonesia anggap tak perlu minta maaf



Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata, Indonesia tidak perlu meminta maaf berhubung asap daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan pencemaran udara di beberapa negara.

Jusuf berkata, apa yang perlu dilakukan oleh republik itu ialah mengatasi masalah kebakaran hutan supaya masalah pencemaran udara akibat asap kebakaran itu tidak berulang lagi, lapor Kompas.

"Berapa lama mereka (negara jiran) nikmati udara segar daripada kawasan hijau dan hutan-hutan kita semasa ia tidak terbakar? Berbulan-bulan. Adakah mereka berterima kasih?

“Tetapi, semasa terjadinya kebakaran hutan paling lama sebulan, asap-asap itu cemari wilayah mereka. Jadi, mengapa mesti meminta maaf," katanya.

Selain itu, Jusuf juga berkata, salah satu penyebab kebakaran hutan susulan wujud permintaan beberapa syarikat milik negara-negara yang mengalami jerebu.

Menurutnya, syarikat dari negara-negara itu juga menebang dan membakar hutan dengan menggunakan khidmat warga tempatan untuk mengosongkan tanah bagi tujuan perladangan atau perniagaan.

Menurut Kompas, Jusuf pernah mengatakan perkara sama pada tahun 2005 dan 2007 ketika menjadi naib presiden kepada Presiden Indonesia keenam, Susilo Bambang Yudhoyono.

Malah pada 18 September lalu, Jusuf turut memberi kenyataan sama ketika bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya.

Jusuf turut berkata, punca kebakaran dan kerosakan hutan juga disebabkan oleh kemasukan orang-orang asing yang memerlukan tanah pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kemudian bekerjasama dengan syarikat Indonesia.

"Mereka yang mengajar kita supaya memusnahkan hutan. Akibatnya, dengan menggunakan alasan pembangunan, hutan-hutan kita ditebang.

"Tanah-tanah gambut kita dibuka. Tanah gambut yang basah dan banyak mengandungi air menjadi kering sehingga mudah terbakar," kata Jusuh sambil menamakan beberapa syarikat asing tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, selain mencegah daripada berlakunya kebakaran hutan, kerajaan juga akan mengeluarkan larangan pembalakan dan moratorium (penggantungan) terhadap penggunaan tanah termasuk pembukaan tanah-tanah bagi ladang baru.

https://www.malaysiakini.com/news/313571