KOTA BHARU - Pengguna laman sosial ‘facebook’ kini perlu berhati-hati
terutama ketika memasukkan gambar-gambar mereka untuk paparan umum bagi
mengelak unsur sihir dan gangguan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Perubatan Islam Darussyifa’ Cawangan
Kelantan, Zaki Ya berkata, pada zaman alam siber ini, jin boleh juga
merapati manusia melalui internet atau gelombang termasuk laman sosial
‘facebook’.
“Sebelum ini, saya pernah merawat satu kes orang terkena sihir yang
meracau-racau secara tiba-tiba ketika berada di hadapan komputer semasa
melayari internet.
“Beberapa hari lalu, saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS)
daripada seorang bapa yang mahu anaknya dirawat setelah setahun tidak
mahu ke sekolah dan bapa tersebut mengesyaki ada jin yang menyihir
anaknya melalui talian internet,” katanya semasa ditemui di Klinik
Rawatan Islam dan Tradisional (Rawatid) Pusat Islam Universiti Sains
Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini.
Zaki berkata, bapa terbabit menceritakan dalam SMS itu anaknya akan
mengamuk setiap kali ibu bapanya menghalang dia bermain internet,
malahan anak berkenaan juga pernah mengancam akan membunuh diri jika
dihalang.
Beliau berkata, pesakit itu belum ditemuinya dan perawat Pusat Rawatan
Islam Darussyifa’ akan membantu anak berkenaan supaya pulih semula.
Dalam pada itu, katanya, dianggarkan 60 peratus rakyat di negeri ini
masih mempercayai bomoh melalui perubatan tradisional, sedangkan
perbuatan itu bertentangan dengan ajaran agama.
Menurutnya, walaupun zaman berubah, namun masih ada segelintir masyarakat yang masih mempercayai bomoh dan tukang sihir.
“Berdasarkan pengalaman kami sebagai perawat, dianggarkan 60 peratus
rakyat di Kelantan mencari bomoh terutama ketika mereka mengalami
gangguan atau mengesyaki ada penyakit. Amalan dan budaya menemui bomoh
ini masih tinggi di kalangan orang Kelantan, malahan majoriti bomoh itu
mengamalkan ilmu daripada Thailand dan segelintirnya adalah bomoh
Melayu,” katanya .
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Kubang Kerian, Dr Wan
Nudri Wan Daud berkata, pihaknya mengadakan Rawatid yang membolehkan 13
kakitangan USM bakal memperoleh sijil pada majlis konvokesyen bidang itu
pada 23 Disember depan.
“Kami membantu pesakit di wad mendapatkan rawatan Islam berdasarkan
permintaan keluarga setelah pesakit itu tidak dikenal pasti penyakitnya
atau perlu segera diselamatkan daripada gangguan jin atau sihir,”
katanya.
sumber