23/07/13

Siapa Layak Terima Zakat Fitrah

Kepada siapa hendak diberikan zakat fitrah?


1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;

a)Untuk golongan fakir

b)Untuk golongan miskin

c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama

d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat

e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya

f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang

g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)

h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan


2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).


Adakah wajib berniat ketika mengeluarkan zakat fitrah?

Ya, wajib berniat kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari ‘Umar r.a.).

Niat yang wajib ialah di dalam hati iaitu menghadirkan di dalam hati (ketika memberi zakat fitrah kepada orang yang berhak menerimanya) bahawa yang dihulur/diberikan itu adalah zakat fitrah yang wajib ke atas diri atau orang-orang yang berada di bawah tanggungan. 

Adapun melafaz niat dengan lidah, hukumnya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak tidak mensunatkannya kerana tiada dalil yang menyuruhnya.


Lagi Info Pasal Zakat Fitrah :
  1. Apa itu Zakat Fitrah?
  2. Hikmah Zakat Fitrah
  3. Siapa Diwajibkan Zakat Fitrah
  4. Syarat Wajib Zakat Fitrah
  5. Jenis Harta Dan Kadar Untuk zakat Fitrah
  6. Masa Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah
  7. Siapa Layak Terima Zakat Fitrah
  8. Kadar Zakat Fitrah Di Seluruh Malaysia 2013