23/07/13

Siapa Diwajibkan Zakat Fitrah

Ke atas siapa diwajibkan zakat fitrah?


Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu sama ada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang bandar atau pedalaman jika cukup syarat-syarat yang akan disebutkan nanti.

Bagi orang yang belum mempunyai tanggungan, zakat fitrahnya disempurnakan oleh dirinya sendiri atau orang yang menanggung nafkahnya. Adapun orang yang telah mempunyai tanggungan, ia wajib menyempurnakan zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya merangkumi;

1. Isteri
2. Asal-asulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga berikutnya ke atas)
3. Zuriatnya (iaitu anak-pinak dan cucu-cicit); sama ada lelaki atau perempuan, kecil atau besar/dewasa.
4. Hamba yang dimiliki.


Bagaimana jika seseorang itu mempunyai tanggungan yang banyak dan harta yang ada tidak mencukupi untuk membayar zakat untuk semua tanggungannya?

Hendaklah membayar zakat untuk diri sendiri dan sebahagian tanggungannya mengikut urutan keutamaan di bawah;

1. Isterinya
2. Anaknya yang kecil
3. Bapanya
4. Ibunya
5. Anaknya yang dewasa


Jika orang terdapat lebih dari seorang (seperti ia memiliki lebih dari seorang isteri atau lebih dari seorang anak kecil), maka ia boleh memilih dari kalangan mereka siapa yang hendak ia zakati.


Jika isteri kaya, adakah suami tetap wajib menanggung zakat fitrahnya?

Ya, kerana isteri berada di bawah tanggungan nafkah suami, maka zakat fitrahnya menjadi kewajipan suami sekalipun isteri kaya.


Jika suami miskin, adakah isteri wajib mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya?

Tidak wajib. Jika suami miskin dan tidak mampu mengeluarkan zakat fitrah, gugur zakat fitrah dari isterinya sebagaimana gugur dari dirinya. Tidak wajib isteri mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya kerana ia tertanggung atas bahu suaminya. Walaupun tidak wajib, namun disunatkan ia mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya jika ia mampu.


Bilakah anak wajib menanggung zakat fitrah untuk ibu-bapanya?


Anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi ibu-bapanya kecualilah jika ibu-bapanya fakir atau miskin di mana nafkah sara hidup mereka menjadi kewajipannya ketika itu. Adapun ibu-bapa yang kaya atau berkemampuan, maka zakat fitrah mereka tidak wajib ditanggung oleh anak-anak mereka, akan tetapi ditanggung oleh mereka sendiri.


Bilakah bapa wajib menanggung zakat fitrah untuk anak-anaknya?

Anak-anak terbahagi kepada dua;
1. Anak-anak yang masih kecil
2. Anak-anak yang telah dewasa (baligh)


Anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan, jika mereka memiliki harta, maka zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dari harta mereka. Menjadi tanggungjawab walinya untuk mengeluarkannnya dari harta tersebut. Namun jika mereka tidak memiliki harta, maka zakat fitrah mereka ditanggung oleh bapa atau penjaga yang menanggung nafkah mereka.


Anak-anak yang telah baligh (dewasa), jika mereka mampu mencari pendapatan sendiri, maka zakat fitrah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri, bukan atas bapa atau penjaga mereka. Malah tidak sah bapa atau penjaga mereka mengeluarkannya bagi pihak mereka kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkannya.


Adapun yang tidak mampu mencari pendapatan sendiri –sama ada kerana ditimpa sakit yang berterusan, gila atau kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu- maka bapa atau penjaga yang menyara mereka lah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk mereka.

Kesimpulannya, bagi anak-anak yang telah dewasa, syarat untuk mewajibkan bapa atau penjaga menanggung zakat fitrah mereka ialah mereka tidak mampu mencari pendapatan sendiri.


Adakah wajib kita menanggung zakat fitrah untuk saudara-mara?

Tidak wajib sekalipun mereka susah dan miskin. Saudara mara (sama ada abang, adik, kakak, anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, sepupu-sepupu serta sekelian kaum kerabat yang lain yang tidak tergolong dalam asal-usul kita (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek) dan juga zuriat kita (iaitu anak, cucu dan cicit)), tidak wajib kita menanggung nafkah mereka (sekalipun mereka miskin), maka dengan itu tidak wajib pula kita membayar zakat fitrah untuk mereka.

Malah tidak sah seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk saudara atau ahli kerabat yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkan kepadanya (untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka).