23/07/13

Jenis Harta Dan Kadar Untuk zakat Fitrah

Apakah jenis harta yang sah untuk dikeluarkan zakat fitrah?


Zakat fitrah wajib dikeluarkan dari makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau Negara. Pada zaman Nabi s.a.w. makanan asas ialah kurma, anggur kering (kismis), gandum, keju dan barli.

Kerana itu zakat fitrah dikeluarkan berasaskan makanan-makanan tersebut sebagaimana diceritakan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a.; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar segantang dari gandum atau segantang dari barli atau segantang dari tamar atau segantang dari ‘aqt (keju) atau segantang dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).

Bagi penduduk di Negara kita Malaysia, makanan asas ialah beras. Oleh itu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras atau dengan wang yang seharga dengan beras mengikut nilaian semasa.


Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?

Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang Baghdad menyamai ukuran hari ini kira-kira 2750 gram (atau 2.75KG). Itu mengikut timbangan gandum. Adapun mengikut timbangan beras, satu gantang Baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6 KG (mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan).

Seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit dari kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkannya dari kadar yang sepatutnya dikeluarkan.


Adakah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang?

Terdapat khilaf ulamak;

a) Mengikut mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad; zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asas setempat tadi. Tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat mengikut nilaian semasa.

b) Menurut mazhab Hanafi; harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas tadi jika itu lebih memberi manfaat kepada fakir miskin. Pandangan mazhab Hanafi ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya.


Lagi Info Pasal Zakat Fitrah :
  1. Apa itu Zakat Fitrah?
  2. Hikmah Zakat Fitrah
  3. Siapa Diwajibkan Zakat Fitrah
  4. Syarat Wajib Zakat Fitrah
  5. Jenis Harta Dan Kadar Untuk zakat Fitrah
  6. Masa Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah
  7. Siapa Layak Terima Zakat Fitrah
  8. Kadar Zakat Fitrah Di Seluruh Malaysia 2013