23/07/13

Peserta Ratu Cantik Hina Islam - JAWI


Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyifatkan, kenyataan bekas peserta Miss Malaysia World 2013 yang kecewa dengan fatwa mengharamkan orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik, sebagai menghina Islam.

Dalam kenyataannya petang ini, JAWI merujuk kepada laporan Berita Harian hari ini, yang antaranya memetik reaksi dua daripada empat peserta Muslim pertandingan itu, iaitu Sara Amelia Muhammad Bernard (bawah) dan Wafa Johanne De Korte.


"Berdasarkan laporan akhbar tersebut, peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

"Oleh itu kenyataan tersebut dianggap telah menghina Islam," menurut kenyataan jabatan agama Islam itu lagi.

Berita Harian hari ini melaporkan, empat peserta Islam pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang digugurkan dan dihilangkan kelayakan dalam pertandingan itu tetap berkeras untuk bertanding di peringkat akhir pada 2 Ogos ini.

Menurut harian itu lagi, Sara Amelia, 20, berkata, dia kecewa dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Katanya, beliau sedar umat Islam tidak dibenarkan memasuki pertandingan ratu cantik, tetapi dimaklumkan penganjur bahawa ia dibenarkan kerana mereka tidak perlu memperagakan pakaian renang, sebaliknya hanya pakaian suka.

Kertas siasatan dibuka

Sementara Wafa Johanna, 19, pula dipetik sebagai berkata, beliau terharu melihat penganjur berusaha mempertahankan dan melihat potensi dalam diri mereka untuk mewakili orang Melayu dalam pertandingan itu.

Dia juga berkata berbesar hati untuk meneruskannya jika masih diberi peluang.

Penganjur pertandingan Datuk Anna Lim dilapor berkata, walaupun menarik balik penyertaan empat peserta Islam itu, pihaknya masih memberi peluang kepada mereka menyertai program itu.