2/08/13

Haramkan Kongsian Berita Di Internet

Ini berita bukan dari Malaysia, tapi dari negara Komunis Vietnam. Kerajaan mereka begitu tegas. Sampaikan rakyatnya tidak boleh berkongsi berita di laman sosial atau di blog. Kalaulah perkara macam ini terjadi dekat Malaysia. Apa agaknya akan berlaku, forum-forum akan sepi, blog pasal berita tiada lagi, dekat facebook pun cerita pasal peribadi jer..hahaha


HANOI - Pemerintah Komunis Vietnam akan mengharamkan perkongsian berita secara dalam talian melibatkan para pemilik blog dan pengguna media sosial.

Ia dibuat menerusi satu dekri baharu yang dilihat sebagai tindakan keras mengekang kebebasan menggunakan internet.

Menurut dekri tersebut, pemilik blog dan pengguna laman sosial seperti Facebook dan Twitter hanya dibenar bertukar-tukar maklumat peribadi.

Dokumen dekri berkenaan ditandatangani oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung dan dikeluarkan lewat kelmarin.

Ketua Jabatan Radio, Televisyen dan Maklumat Elektronik, Hoang Vinh Bao seperti dipetik akhbar VNExpress berkata, para pengguna internet dilarang berkongsi maklumat daripada akhbar, agensi berita atau laman web lain milik kerajaan.

Namun, perintah baharu itu tidak menjelaskan bagaimana peraturan tersebut akan dilaksanakan atau jenis denda yang bakal dikenakan.

Perintah yang dijangka berkuat kuasa pada September depan turut melarang pembekal perkhidmatan internet asing menyediakan maklumat bertentangan dengan dasar Vietnam.

Antaranya melibatkan isu yang boleh menjejaskan keselamatan negara, ketenteraman sosial dan perpaduan atau fitnah.

Sementara itu, akhbar dalam talian VietnamNet melaporkan, Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi, Le Nam Thang berkata, peraturan baharu itu bertujuan membantu pengguna internet memperoleh maklumat bersih dan tepat dalam talian.

Pada tahun ini, seramai 46 aktivis didapati bersalah kerana terlibat dalam aktiviti antikerajaan dan telah dipenjara.

Sekurang-kurangnya tiga pemilik blog turut ditahan pada Jun lalu.

Kesemua mereka dituduh terlibat dalam aktiviti antikerajaan. - AFP