11/07/13

Riwayat Hidup Imam Maliki


Imam Malik Rahimahullah atau nama sebenar beliau Malik bin Anas bin Malik Amir
Al-Harith dilahirkan di Kota Madinah pada 93 Hijrah bersamaan dengan tahun 713 Masihi, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik daripada kerajaan Bani Umaiyah.

Beliau berasal dari keturunan Arab yang terhormat dan dimuliakan oleh masyarakat kerana datuknya Amir bin Al-Harith banyak berkorban bersama Nabi Muhammad s.a.w. dalam menegakkan agama Islam. 

Kehidupan keluarganya yang susah tidak memadamkan cita-citanya untuk menjadi orang yang berilmu. Berkat usahanya yang gigih dan bersungguh-sungguh, akhirnya beliau muncul sebagai seorang ulama, hartawan, dermawan, dan berjaya memegang jawatan Mufti Besar di Madinah.

Sejarah keluarganya juga ada hubung-kait dengan ilmu Islam dengan datuknya sendiri seorang perawi dan penghafal hadis yang terkemuka. Pakciknya juga, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadis kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadis. Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadis daripada Abdullah ibn ‘Umar, ‘A'isyah binti Abu Bakar, Umm Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum

Beliau pernah menjadi guru sedari usia 17 tahun dan dapat mengajar dengan baik walaupun masih muda. Majlis pengajian beliau dilakukan di Masjid Nabawi. 

Beliau yang juga dikenali sebagai pengasas Mazhab Maliki telah meninggal dunia pada 10 Rabiulawal 179 Hijrah bersamaan 798 Masihi ketika berusia 86 tahun dengan meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri. Mazhab Maliki berkembang di beberapa tempat di dunia seperti Maghribi, Algeria, Libya, Iraq dan Palestin.


SIFAT PERIBADI

Sepanjang hidupnya, Imam Malik terkenal dengan kecerdasan akal fikirannya yang tinggi sehinggakan mampu menghafal al-Quran dalam usia yang masih muda. Beliau juga terkenal dengan sifat mulia, bersopan-santun, suka memakai pakaian yang bersih, kemas serta bau-bauan yang harum selaras dengan tuntutan agama supaya menjadi orang yang pembersih.

Walau bagaimanapun, beliau yang terkenal dengan keramahan dan bergaul dengan semua lapisan masyarakat merupakan seorang yang pendiam dan hanya berkata-kata apabila perlu dan menganggap benda yang akan diucapkan adalah perkara-perkara yang berfaedah sahaja. 

Beliau juga seorang hartawan yang tidak lokek membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sebagai contoh, beliau pernah membantu Imam as-Syafie sehingga berjaya menjadi ulama terkenal.

Beliau seorang yang sangat menghormati hadis-hadis Rasulullah sendiri dan diri baginda sendiri walaupun baginda telah wafat. Beliau dikatakan tidak pernah menunggang sebarang jenis kenderaan di Madinah sebagai tanda menghormati jasad baginda yang tertanam di dalam kubur.


Suasana kehidupan Imam Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka sempat belajar, mendengar hadis dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Imam Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi. 

Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah pada ketika itu. Imam Malik juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. 

Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. 

Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:

“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.” Ada yang mengatakan di didera sedemikian kerana fatwanya terhadap golongan pelampau yang cuba menjatuhkan kerajaan. Imam Malik berpendapat, seandainya Pemimpin yang ingin dijatuhkan itu seperti Umar bin Abd Aziz, wajib dibunuh pelampau berkenaan. Jika tidak, Imam Malik berpendapat biarkan Allah balas kezaliman dengan kezaliman.

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.”
Insya Allah.

Prinsip hidup beliau mengenai ilmu ialah orang yang ingin belajar ilmu hendaklah berusaha mencarinya, bukan ilmu yang datang mencarinya. Beliau tidak pernah merungut apabila memberi pendidikan kepada anak-anak muridnya. Beliau akan bersusah-payah memberi kefaham kepada anak-anak muridnya tentang sesuatu masalah ilmu. Beliau pernah mengatakan : “Aku tidak keluar berfatwa dan mengajar hadith melainkan setelah bertemu 70 Syeikh yang mempersaksikan kemampuanku”.


PENDIDIKAN


Sejak kecil lagi minatnya terhadap ilmu sudah disemai dalam jiwanya. Beliau telah menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis semenjak kecil dan mendapat pendidikan di Kota Madinah daripada beberapa orang ulama terkenal di sana. Guru pertama beliau adalah Abdul Rahman bin Harman iaitu seorang ulama besar Madinah yang telah memberi pendidikan kepada beliau selama lapan tahun.

Selain Imam Nafi, Imam Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Imam Ja'afar al-Siddiq, cucu kepada al-Hasan R.A , cucu kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Imam Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi berguru dengan Imam Muhammad Yahya al-Ansari, Imam Abu Hazim Salmah al-Dinar, Imam Yahya bin Sa'ad dan Imam Hisham bin Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya.

Antara tokoh besar yang duduk belajar bersama Ima Malik ialah Imam Abu Hanifah dari Kufah. Selain itu diriwayatkan bahawa sebanyak 1300 tokoh-tokoh lain yang duduk bersama menuntut ilmu bersama imam Malik di Masjid Nabawi. Antaranya termasuklah Muhammad bin Idris, yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Imam al-Syafi‘e. Ketinggian ilmu Imam Malik bin Anas pernah diungkap oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai:

“Imam Malik adalah penghulu dari para penghulu ahli ilmu dan dia pula seorang imam dalam bidang hadis dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat menyerupai Imam Malik?”

Akibat dari kecerdasan akalnya yang luar biasa, beliau pernah menghafal 29 buah hadis daripada 30 buah hadis yang dibacakan oleh gurunya dalam satu hari sahaja. Beliau pernah belajar daripada 900 orang guru dari kalangan tabiin dan tabi’ tabiin. Imam Malik banyak menimba ilmu pengetahuan di Kota Madinah yang pada masa itu menjadi pusat pengajian ilmu, khususnya ilmu agama.


KITAB AL-MUWATTO’


Al-Muwatto’ bererti ‘yang disepakati’ atau ‘tunjang’ atau ‘panduan’ tentang ilmu dan hukum-hukum agama. Al-Muwatto’ merupakan sebuah kitab yang mengandungi hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam Malik serta pendapat para sahabat dan ulama-ulama tabiin. Kitab ini lengkap dengan pelbagai masalah agama yang merangkumi ilmu hadis, ilmu fiqh dan sebagainya. Semua hadis di dalam kitab ini adalah sahih kerana Imam Malik terkenal dengan sifatnya yang tegas dalam penerimaan hadis tertentu.

Beliau sangat berhati-hati ketika menapis, mengasingkan, dan membahas serta menolak riwayat yang meragukan. Daripada 100,000 buah hadis yang dihafal beliau, hanya 10,000 sahaja diakui sah dan daripada 10,000 hadis itu, hanya 5,000 sahaja yang disahkan sahih oleh beliau setelah disiasat dan dipadankan dengan al-Quran.

Menurut satu riwayat, Imam Malik menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya. Imam Syafie pernah berkata,

“Tiada sebuah kitab di muka bumi ini yang lebih banyak mengandungi kebenaran selain daripada kitab Al-Muwatto’ karangan Imam Malik.”


KEWAFATAN


Imam Malik kemudiannya dibebaskan dan beliau kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiul-Awal tahun 179H/796M. Di antara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah ‘Abd al-Rahman bin al-Qasim al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).


PERBEZAAN UTAMA MAZHAB MALIKI DENGAN MAZHAB YANG LAIN.

1. Mengguna pakai amalan penduduk Madinah di dahulukan daripada qias.
.
2. Masoleh Mursalah – Iaitu mengutamakan kemaslahatan di dalam memelihara hukuman dan ia bukanlah merupakan hukum yang disebutkan di dalam Nas. Sebagai contohnya :
.
i. Memukul tertuduh kes curi supa mengakui perbuatan mencuri.
ii. Orang perempuan yang ditalakkan dan mempunyai waktu suci yang panjang . Maka Imam Malik berpandangan dikira dengan 3 bulan seandainya telah melebihi tempoh kebiasaanya perempuan hamil.
.
3. Kata-kata sahabat, seandainya sanadnya sah. Dan didahulukan sebelum Qias.