17/07/13

Makmal Kimia UiTM Diisytihar Kawasan Larangan


SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Makmal kimia bangunan Makmal Institut Pengurusan Penyelidikan (RMI) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang terbakar Isnin, diisytihar sebagai kawasan larangan untuk semua individu dan tidak selamat untuk digunakan.

Pengisytiharan itu dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Shah Alam hari ini mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 di sini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut memaklumkan 90 peratus daripada bangunan Makmal Kimia RMI musnah dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang Isnin, menurut Jabatan Komunikasi Korporat UiTM dalam kenyataan Selasa.

Punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar, seorang pensyarah dan seorang pembantu makmal sedang menjalankan uji kaji di dalam sebuah daripada makmal berkenaan apabila kebakaran berlaku.

Mereka sempat menyelamatkan diri apabila menyedari api mula merebak, yang dipercayai berpunca daripada sebuah bilik makmal yang terletak di bahagian tengah bangunan.

Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 7.20 malam.