8/12/12

8 Kegunaan Mentega Kacang Yang Kita Tak Tahu

Mentega kacang kebiasaannya disapu pada roti. Boleh juga dicampur dengan coklat atau jam dan ada sesetengah daripada kita yang menggunakannya sebagai minuman seperti shakes atau smoothie. Namun sebenarnya mentega kacang mempunyai kegunaan lebih daripada itu. Ia bukan hanya sekadar makanan malah ia adalah perkakas rumah yang penting. Ya, perkakas rumah.

Pelincir
Mentega kacang adalah pelincir terbaik. Jika alat pemotong rumput anda tersangkut-sangkut dan tidak lancar kerana berkarat, hanya sapukan sedikit di kawasan yang anda rasa patut dan kemudian saksikan sendiri perubahannya.


Ubat Untuk Binatang
Pada yang memelihara binatang seperti kucing atau anjing, pasti anda ketahui betapa sukarnya memberi ubat kepada mereka. Jangan khuatir dengan masalah itu kerana kebanyakan kucing dan anjing sangat menyukai mentega kacang. Untuk itu campurkan sedikit ubat di dalam mentega kacang dan kemudian berikan kepada mereka. Cara ini lebih efektif.


Pengganti Mentega
Banyak daripada resipi kek, biskut dan kuih menggunakan mentega. Sebenarnya anda juga boleh mencuba mentega kacang daripada anda menggunakan mentega biasa. Banyak resepi yang sesuai terutamanya brownies. Zaman sekarang anda hanya perlu mengGoogle kerana resipi sentiasa berada dalam carian internet. Ia akan memberi kelainan dalam setiap kek anda.


Umpan Tikus
Zaman sekarang pelbagai umpan yang digunakan untuk mengumpan tikus, ada yang menggunakan tulang ayam, mungkin buah-buahan dan sebagainya. Namun ramai yang tak tahu sebenarnya tikus lebih tertarik dengan mentega kacang. Bagaimana fakta ini diperolehi, ia masih misteri sehingga ke hari ini. Malah mentega kacang lebih murah berbanding keju chedar yang digunakan oleh sesetengah orang. Jadi, masa hadapan gunalah mentega kacang sebagai umpan.


Menghilangkan Kesan Tanda Harga
Selalunya pasti sahaja apabila kita menanggalkan label harga pada barangan akan meninggalkan kesan gam. Dengan mentega kacang anda cuma perlu meletakkan sedikit sahaja di bahagian gam kemudian gosok dengan kain. Kesannya pasti diluar jangkaan anda.


Nyah Bau Ikan Di Rumah
Selepas menggoreng ikan pastinya suasana rumah anda akan dipengaruhi dengan bau ikan yang kurang menyenangkan. Mudah sahaja, cuma ambil satu sudu mentega kacang kemudian masukkan ke dalam kuali yang anda gunakan tadi dan goreng selama satu atau dua minit. Pasti rumah anda akan berbau lebih menyenangkan daripada bau ikan dan minyak yang memeningkan.



Penanggal Gula-Gula Getah
Pasti ramai yang tertekan apabila barangan seperti kasut, karpet dan mungkin rambut anda terkena gula-gula getah. Jadi untuk memudahkan kerja anda cuma perlu meletakkan mentega kacang ke atas gula-gula getah tadi dan gosokkan dengan kain buruk. Hanya sekali gosok pasti gula-gula getah itu tertanggal.


Krim Pencukur
Percaya atau tidak mentega kacang sememangnya adalah krim pencukur terbaik. Hanya gunakan seperti krim pencukur yang lain pasti anda akan mendapat cukuran yang sempurna. Tambahan pula minyak pada mentega kacang baik untuk kulit jadi tidak perlulah menggunakan pelembab kulit yang lain. Anda juga boleh mencari aksi mencukur dengan mentega kacang di YouTube untuk keterangan lanjut.