26/07/12

Populariti Najib: Cina naik, kaum Melayu, India susut





Infografik Prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

SHAH ALAM - Tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kalangan pengundi di Semenanjung "kekal stabil" di tahap positif meskipun merekodkan sedikit penurunan membabitkan kaum Melayu dan Cina, demikian menurut satu kajian kendalian Merdeka Center.

Penemuan firma itu, yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan populariti Najib bulan lalu berada pada paras 64 peratus berbanding 65 peratus pada Mei lalu.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa paras rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan India, kaum minoriti, masing-masing menurun daripada paras 79 peratus kepada 75 peratus dan 72 peratus kepada 69 peratus.

Bagaimanapun sokongan pengundi Cina terhadap prestasi Najib telah meningkat daripada 37 peratus pada Mei lalu kepada 42 peratus bulan lalu.

"Meskipun mengalami penurunan di kalangan pengundi kaum India dan Melayu, paras yang direkodkan masih tinggi. Cuma ada perubahan sedikit di kalangan pengundi Cina," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian ketika dihubungi.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Ibrahim berkata, pendirian komuniti-komuniti itu kemungkinan dipengaruhi oleh kebimbangan mereka tentang keadaan ekonomi negara khususnya di kalangan responden India.

"Ia juga ada kaitan dengan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan berkaitan dengan aktivis (Pengerusi Bersama Bersih 2.0) Datuk S. Ambiga," kata beliau lagi.

Kajian terbaru ini dikendalikan antara 22 dan 29 Jun lalu membabitkan 1,010 pengundi berdaftar melibatkan 59 peratus pengundi, Cina (32 peratus) dan India (sembilan).

Ibrahim berkata, meskipun Najib merekodkan paras populariti yang stabil dan tinggi, kajian yang sama juga menunjukkan bahawa pandangan pengundi terhadap kerajaan terus mengalami penurunan.

Katanya, seramai 42 peratus responden melahirkan pendirian bahawa "mereka gembira dengan kerajaan" - satu penurunan sebanyak enam peratus berbanding kajian dikendalikan pada pertengahan Mei 2012.

"Penurunan ini sangat ketara di kalangan pengundi Melayu, di mana respons mereka yang mengatakan 'gembira' dengan kerajaan mengalami penurunan daripada 65 peratus pada bulan Mei kepada 58 peratus pada Jun 2012," katanya lagi.

Ibrahim juga berkata, kajian pihaknya juga menunjukkan bahawa pendirian berhubung isu-isu ekonomi khususnya kos hidup dan gaji menjadi aspek pilihan utama di kalangan pengundi - 39 peratus pada bulan lalu berbanding 33 peratus pada Mei lalu.

"Ini disusuli dengan kebimbangan berkenaan dengan kadar jenayah dan masalah sosial pada 12 peratus dan isu-isu politik sekitar lapan peratus," katanya lagi.

sumber