20/01/12

Bom Zaman Jepun Ditemui


BELOKOK - Seorang pekerja projek pembinaan jalan baru Pekan Nenas ke Tanjung Piai, terkejut apabila menemui sebutir bom di bawah timbunan pasir ketika kerja meratakan tanah, kelmarin.

Sharifuddin Yunus, 40, berkata, pada awalnya dia menyangka objek itu adalah batu, tetapi apabila diamati ianya seperti bentuk bom.

Menurutnya, bom itu ditemui di hadapan stor menyimpan peralatan pembinaan dan kenderaan berhampiran sebuah sekolah, di sini, petang kelmarin.

“Ia seperti batu berwarna hitam, tetapi selepas menyedari objek berkenaan berkemungkinan bom saya hanya melihat dari jauh,” katanya.

Dia kemudiannya memberitahu penyelia tapak, Saiful Afendy Rashdi, 25, sebelum membuat laporan di Balai Polis Permas.

Dengan penemuan bom itu, kerja pembinaan terpaksa dihentikan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan bagi mengesahkan penemuannya.

Sementara itu, Saiful Afendy berkata, pihaknya hanya akan menyambung kerja pembinaan hari ini bagi memastikan tahap keselamatan pekerja dan bahan yang ada di stor penyimpanan.

Kawasan penemuan bom itu menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mengetahui cerita sebenar, sejak petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin mengesahkan objek yang ditemui itu adalah sebutir bom yang masih aktif.

Katanya, bom seberat 25 kilogram dan sepanjang 16 inci itu dipercayai dari jenis Shell Marin iaitu sejenis bom yang digunakan tentera marin.

Selain itu, bom ini juga dipercayai telah dijatuhkan di sungai pada zaman Jepun berdasarkan kepada perkataan ‘Mark 6’ yang ada pada badan bom berkenaan.

Zahaliman berkata, bom berkenaan telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, kira-kira jam 8 pagi, semalam.


SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/edisi/...itemui-1.19313