5/10/11

Hakikat Solat


Hadith:

SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu solat yang diwajibkan lalu dia pun berwuduk dengan wuduk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan rukuknya, maka solat itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar."

Riwayat Muslim



Huraian Hadith:

Pengajaran:

i) Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan solat, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana solat yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riyak dan takbur.

Solat yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.

ii) Sesungguhnya solat dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati.

Hal ini bermula dengan berwuduk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.

iii) Solat berjamaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya.

Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersolat pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin.

iv) Selain kebersihan zahir, solat juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana solat merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari tuhan-Nya.

Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu solat di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.