1/01/11

Budak enam tahun maut dilanggar mat rempit

JEMPOL: Hasrat seorang kanak-kanak perempuan mendaftar diri untuk memulakan pengajian tahun pertama persekolahannya semalam, tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah motosikal yang didakwa sedang berlumba di Kilometer 3 Jalan Bahau-Juasseh, di sini malam kelmarin.

Siti Nur Zulaihah Mohd Zaidi, 6, yang sebelum itu menaiki motosikal bersama ibunya, dikatakan tercampak hampir 10 meter akibat rempuhan berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, badan serta kaki.

Ibunya, Norlida Khalid, 39, yang patah kaki kiri dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, berkata ketika kejadian, dia bersama anaknya serta seorang rakan yang menunggang motosikal berlainan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Jempol dari Bahau.

“Tiba-tiba sebuah motosikal tidak berlampu dan ditunggang laju dari belakang mencelah di antara motosikal saya dan rakan sebelum bergesel dengan motosikal saya, menyebabkan saya dan Siti Nur Zulaihah terjatuh atas jalan raya.

“Saya tergamam dan pandangan kabur ketika itu. Namun rakan memberitahu sebuah lagi motosikal dari arah belakang merempuh Siti Nur Zulaihah yang sedang berdiri untuk mencari saya,” katanya yang tidak dapat menahan linangan air mata.

Norlida berkata, sebelum itu anaknya bersungguh-sungguh mengajak pulang dari rumah datuknya ke rumah mereka di Kampung Kuala Jempol kerana tidak mahu terlewat mendaftar di Sekolah Kebangsaan Jempol, semalam dan begitu bersemangat sambil berulang kali mencuba seragam sekolah baru dibeli serta mengemas beg sekolahnya, kelmarin.

“Dia juga sungguh berselera makan. Lebih mengharukan, sebelum kejadian dia memberitahu mahu mengikut datuknya yang baru tiga minggu meninggal dunia, namun tiada siapa memberi perhatian kepadanya ketika itu,” katanya sambil menambah jenazah Siti Nur Zulaihah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Pasoh 1, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Mohamad, berkata polis sudah mengambil keterangan penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha RXZ berusia 18 tahun, tetapi masih mengesan seorang lagi penunggang motosikal jenis sama yang dikatakan bergesel dengan motosikal mangsa.

berita harian.

0 comments:

Catat Ulasan