30/12/10

Berjudi duit bantuan anak


Oleh Mary Victoria Dass

BANTU....Aziz (dua dari kiri) membantu memakaikan beg sekolah kepada murid yang menerima sumbangan, semalam.
BANTU....Aziz (dua dari kiri) membantu memakaikan beg sekolah kepada murid yang menerima sumbangan, semalam.
JOHOR BAHRU: Seorang bapa tergamak menyalahgunakan bantuan persekolahan RM100 untuk anaknya dengan berjudi dan membiarkan zuriatnya itu memakai seragam sekolah lusuh pada sesi persekolahan 2011 yang bakal bermula beberapa hari lagi.
Sikap tidak bermaruah bapa itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian yang membuat tinjauan ke tapak perjudian di bandar raya ini, baru-baru ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 40-an terbabit leka berjudi di tapak perjudian itu di sebuah pesta ria di bandar raya ini dipercayai menggunakan wang bantuan persekolahan diterima untuk anaknya.


Lebih mengejutkan, kata Aziz, dia difahamkan penyelewengan wang bantuan itu sudah menjadi kebiasaan lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh kasar setiap kali ada pihak termasuk syarikat korporat mahupun swasta menghulurkan bantuan kepada anak atau ahli keluarganya.


“Dia sepatutnya menggunakan bantuan kewangan disumbangkan pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib keluarganya sebaik mungkin, sebaliknya dia bebas berseronok tanpa memikirkan masa depan isteri dan anak.

“Akibatnya, anak-anaknya terpaksa menggunakan pakaian seragam dan kasut lama selain mengalami kesulitan memulakan sesi persekolahan depan,” katanya.

Aziz berkata, menyedari kehadirannya, bapa kanak-kanak yang bersekolah rendah itu cuba melarikan diri dari tempat perjudian itu, namun dia ditahan dan dinasihatkan tidak mengulangi perbuatan terbabit.

Menurutnya, kejadian itu perlu menjadi pengajaran kepada lelaki terbabit supaya bersyukur dengan bantuan disumbangkan dan menggunakan wang amanah masyarakat untuk tujuan sepatutnya.

“Sering kali saya menerima aduan masyarakat yang mendakwa masih ada murid atau pelajar tidak mampu membeli keperluan persekolahan biarpun bantuan sudah dihulurkan kepada ibu bapa mereka.

“Saya menasihatkan ibu bapa lebih berdisiplin dan amanah menggunakan bantuan itu untuk menampung perbelanjaan pembelian keperluan persekolahan anak, bukan untuk tujuan lain,” katanya ketika menyampaikan bantuan makanan nutrisi, beg dan pakaian sekolah bernilai RM180,000 kepada 161 murid sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di Dewan Raya, Taman Universiti, di sini, semalam.

Program itu anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima kerjasama Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Hadir sama Pegawai JKM Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar.

Beliau berkata, sumbangan itu disampaikan di lima lokasi berbeza termasuk Kempas, Kampung Melayu Majidee, Taman Pelangi Indah dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Johor Jaya.

0 comments:

Catat Ulasan